Dua polis didakwa minta, terima rasuah daripada pengedar air ketum

Amirul (kiri) dan Mohd Hafizul (dua dari kanan) diiringi pegawai SPRM ke kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar untuk membayar wang jaminan pada Isnin.
Amirul (kiri) dan Mohd Hafizul (dua dari kanan) diiringi pegawai SPRM ke kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar untuk membayar wang jaminan pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Isnin terhadap pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada seorang pengedar air ketum pada 2018.

Tertuduh, Amirul Abu Bakar, 35, dan Mohd Hafizul Zakaria, 35, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad@Shaharudin selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Berdasarkan pertuduhan pertama, mereka secara bersama meminta suapan wang tunai berjumlah RM4,000 daripada seorang lelaki yang disyaki menjalankan kegiatan menjual air ketum pada 28 Jun 2018, jam 9 malam di sebuah rumah di Bedong, Kedah semasa bertugas sebagai Koperal Sokongan dan Koperal di Balai Polis Sik, Kedah.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka secara rasuah memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM2,600 daripada individu tersebut di di lokasi dan tarikh sama sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya.

Mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2019 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan.

Sementara itu, dalam mahkamah sama, Amirul mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan meminta dan menerima rasuah daripada seorang pengedar ketum pada 2018.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh meminta suapan wang tunai RM3,000 dan pertuduhan kedua pula dia dituduh memperoleh wang tunai RM1,300 dan rantai emas bernilai RM380 daripada lelaki tersebut didakwa di sebuah rumah pada jam 9 malam, 13 Julai 2018.

Amirul didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2019 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar semua pertuduhan, Harmi Thamri membenarkan Amirul diikat jamin sebanyak RM10,000 dan Mohd Hafizul sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pada sesi pertuduhan tersebut, Amirul diwakili peguam, Noor Hisham Ismail dan Mohd Hafizul diwakili peguam, Che Sharif Matt manakala pendakwa raya diwakili Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Zulfadli Azharudin.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 14 September depan.