Sistem prapelepasan jemaah haji dilaksana sepenuhnya tahun ini

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini, tidak perlu lagi menunggu lama untuk pemeriksaan pasport di Arab Saudi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Zukri Samat.

Beliau berkata ini kerana sistem prapelepasan yang sebelum ini dijadikan projek perintis pada tahun lepas, akan mula dilaksanakan sepenuhnya pada musim haji tahun ini.

Jelasnya, melalui sistem itu, jemaah haji tidak perlu lagi melalui proses pemeriksaan pasport, Imigresen dan Kastam setibanya di Arab Saudi kerana ia akan dilaksanakan lebih awal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Tanah Suci.

"Kita cuba untuk menambah baik mutu perkhidmatan TH pada tahun ini dengan membuat pre-clearance (prapelepasan) di mana jemaah haji Malaysia datang ke KLIA untuk kita buat clearance (pelepasan) dengan Imigresen Malaysia dan Arab Saudi.

"Maknanya, jemaah haji yang tiba di lapangan terbang Jeddah atau Madinah tidak perlu menunggu lama di lapangan terbang dan mereka akan terus dibawa ke hotel masing-masing," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di Wisma Bernama, hari ini.

Zukri berkata Malaysia adalah negara pertama di dunia yang bekerjasama dengan kerajaan Arab Saudi untuk melaksanakan sistem berkenaan yang lebih teratur untuk kemudahan jemaah haji, selepas kejayaan pelaksanaan projek perintis sistem itu sebelum ini.

Jelasnya, kos bagi kemudahan sistem prapelepasan itu telah dimasukkan ke dalam kos keseluruhan haji tahun ini iaitu RM22,900 dengan TH memberi subsidi sebanyak RM12,920 kepada jemaah haji muassasah kali pertama hanya perlu membayar RM9,980.

Dalam pada itu, Zukri berkata TH sedang menambah baik mutu perkhidmatan bagi memastikan keselesaan jemaah menunaikan Rukun Islam kelima itu antaranya menyediakan pendingin hawa di setiap khemah berikutan cuaca panas yang dijangka berlaku pada musim haji itu nanti.

Artikel Berkaitan:

Zukri berkata pihaknya telah mengeluarkan surat tawaran kepada bakal jemaah yang berjaya mulai 18 Feb lepas.

Setakat ini, pihaknya telah menerima sebanyak 103,000 rayuan bagi permohonan haji dan semua rayuan tersebut akan mula diproses bulan depan. - Bernama