Muhyiddin harap kerajaan baharu segera dibentuk

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri Sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap kerajaan baharu dapat dibentuk segera supaya pentadbiran negara ini tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa selepas beliau secara rasmi meletak jawatan pada Isnin.

Katanya, tempoh dua bulan ke hadapan adalah amat penting kerana Malaysia dijangka mencapai imuniti kelompok pada Oktober depan.

"Segala perancangan yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak boleh terbantut.

"Sektor-sektor ekonomi perlu dibuka semula untuk memastikan ekonomi negara pulih dengan segera dan rakyat dapat menjana pendapatan untuk menyara diri dan keluarga," katanya dalam Perutusan Khas secara langsung melalui stesen televisyen tempatan, pada Isnin

Tegas beliau, dalam tempoh ini momentum pelaksanaan program vaksinasi tidak boleh terganggu.

Muhyiddin berkata, rekod negara yang mencatatkan jumlah vaksinasi harian antara tertinggi di dunia mesti dikekalkan.

"Jangan bimbang. Kabinet saya telah menempah lebih 87 juta dos vaksin untuk penduduk negara ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM4.36 bilion ringgit.

"Jumlah ini adalah lebih daripada mencukupi untuk saudara dan saudari sekalian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin pada Isnin mengesahkan beliau dan barisan kabinetnya meletak jawatan secara rasmi.

Beliau berkata, keputusan itu diambil susulan dirinya hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.