Covid-19: Kes baharu hari ini berkurang lebih 800 kes

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sebanyak 19,740 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, berkurangan lebih 800 kes berbanding kes baharu yang dicatatkan pada Ahad iaitu 20,546 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di akaun Twitter berkata, angka yang dicatatkan hari ini (Isnin) menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di seluruh negara mencecah 1.42 juta.

“Sembilan negeri mencatatkan kes Covid-19 empat angka dengan jumlah kes tertinggi dilaporkan di Selangor iaitu 5,706 kes diikuti Sabah dengan 1,728 kes; Kedah (1,592); Sarawak (1,566); dan Johor (1,510),” katanya.

Beliau berkata, empat lagi negeri yang mencatatkan kes baharu Covid-19 empat angka hari ini adalah Kuala Lumpur dengan 1,360 kes; Pulau Pinang (1,251); Kelantan (1,227); dan Melaka (1,120).

Dr Noor Hisham berkata, empat negeri mencatatkan kes baharu Covid-19 tiga angka iaitu Perak dengan 938 kes; Terengganu (688); Pahang (646); dan Negeri Sembilan (343) manakala Putrajaya dan Perlis mencatatkan kes dua angka dengan masing-masing 43 dan 20 kes.

Labuan menjadi satu-satunya negeri yang mencatkan kes satu angka dengan dua kes dilaporkan pada hari ini, katanya.

Dr Noor Hisham menerusi kenyataan pada Isnin memaklumkan daripada 19,740 kes, 298 kes (1.5 peratus) adalah daripada kategori tiga, empat dan lima manakala baki 19,442 kes (98.5 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua.

Katanya, secara keseluruhan, 16,805 kes (85.1 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan tiada atau tidak lengkap vaksinasi Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata, kes sembuh mencatatkan 17,450 kes, menjadikan jumlah kumulatif kini 1,162,578 kes manakala kes aktif sebanyak 249,277 kes.

Mengenai kes kematian baharu, sebanyak 274 kematian dilaporkan melibatkan 100 kes di Selangor, Kuala Lumpur (39), Johor (31), Kedah (21), Pulau Pinang (19), Melaka (16), Sabah (15), Perak (10), Kelantan (sembilan), masing-masing lima kes di Sarawak dan Negeri Sembilan, tiga kes di Terengganu dan satu kes di Pahang.

Katanya, daripada jumlah kematian itu, 211 adalah warga tempatan, manakala 63 lagi warga asing dengan 77 kes kematian direkodkan di rumah atau 'brought-in-dead' (BID) melibatkan pecahan 28 warga tempatan dan 49 bukan warganegara.

Sementara itu, sejumlah 1,047 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 520 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.

Mengenai 35 kluster baharu yang dikenal pasti, Dr Noor Hisham berkata, 21 daripadanya adalah kluster tempat kerja, 11 kluster komuniti, dua kluster kumpulan berisiko tinggi dan satu kluster pendidikan tinggi.

Beliau berkata, nilai kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) di Malaysia semalam adalah 1.05 dengan kesemua negeri mencatatkan nilai melebihi 1.0 kecuali Labuan (0), Putrajaya (0.90) dan Kuala Lumpur (0.99).

Perlis mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.29, diikuti Kelantan (1.19), Sabah (1.16), Pulau Pinang (1.15), Sarawak (1.14), Perak (1.11), Johor (1.10), Kedah (1.09), Pahang (1.08), Terengganu (1.05), Selangor (1.02), Negeri Sembilan dan Melaka masing-masing catat 1.0. - Bernama