Sila log masuk terlebih dahulu.

Aktiviti penyalahgunaan minyak masak bersubsidi dibanteras

Antara barangan yang disita dalam operasi di sebuah rumah kedai di Seri Kembangan pada Isnin.
Antara barangan yang disita dalam operasi di sebuah rumah kedai di Seri Kembangan pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya membanteras aktiviti penyalahgunaan minyak masak bersubsidi peket satu kilogram (kg) dalam operasi di sebuah rumah kedai di Seri Kembangan pada Isnin.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa Operasi, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil berkata, premis itu disyaki digunakan sebagai stor.

"Tempat itu juga disyaki digunakan untuk melakukan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi peket satu kg untuk dipindahkan ke dalam bekas minyak masak industri," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Shamsul Nizam berkata, hasil serbuan menemui sebanyak 5,695 peket minyak masak bersubsidi satu kg untuk diseleweng.

"Terdapat dua unit tangki fiber berkapasiti 1,000 liter yang berisi keseluruhannya berjumlah 1,440kg.

"Sisa plastik minyak masak bersubsidi peket satu kg yang telah digunting dan peralatan untuk pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki fiber industri telah disita.

Jumlah sitaan dianggarkan bernilai RM26,374.50," katanya.

Beliau berkata, hasil risikan mendapati bahawa sindiket telah beroperasi hampir tiga bulan dengan mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi peket satu kg daripada pemborong berlesen.

Artikel Berkaitan:

"Minyak masak bersubsidi peket satu kg ini seterusnya dileraikan dan dikumpulkan di dalam satu tangki fiber yang berkapasiti 1,000 liter untuk dipasarkan dengan harga bukan subsidi," katanya.

Menurutnya, dalam serbuan tersebut, seramai tiga pekerja lelaki warga asing berumur 27 hingga 34 tahun yang berada di premis itu telah ditangkap bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan minyak masak dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan minyak masak yang melibatkan urusan secara borong atau runcit tanpa lesen sah," katanya.