Pemilihan PM baharu: Yakin kebijaksanaan Agong

Mahfuz Omar
Mahfuz Omar
A
A
A

POKOK SENA - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar yakin dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam membuat penilaian berkaitan pemilihan Perdana Menteri yang baharu.

Beliau berkata, kebijaksanaan baginda sangat diperlukan untuk memilih pemimpin yang mampu membawa negara ke suatu landasan yang lebih tepat.

Apatah lagi katanya, baginda sebelum ini telah menunjukkan kebijaksanaan dalam membuat beberapa keputusan berkaitan krisis politik tanah air.

"Saya tidak fikir Yang di-Pertuan Agong akan mengambil langkah yang akan menyebabkan legasi kegagalan ini berterusan iaitu legasi kerajaan pada hari ini," katanya ketika membuat lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sementara Masjid Bukit Pinang di sini pada Isnin.

Mahfuz (kanan) beramah mesra dengan seorang warga emas yang menerima suntikan vaksin di PPV sementara Masjid Bukit Pinang di sini pada Isnin.
Mahfuz (kanan) beramah mesra dengan seorang warga emas yang menerima suntikan vaksin di PPV sementara Masjid Bukit Pinang di sini pada Isnin.

Menurutnya, pemilihan Perdana Menteri daripada kalangan kerajaan sekarang ini akan membawa kekecewaan kepada masyarakat.

"Keduanya, ia akan hilang keberkatan kerana peralihan kuasa ini berlaku akibat rampasan mandat rakyat yang tidak mengikut lunas demokrasi," katanya.

Mahfuz berkata, walau bagaimanapun, beliau tetap menjunjung tinggi apa sahaja keputusan yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan:

"Dalam isu ini tiada siapa pun boleh mendakwa ada majoriti, macam Muhyiddin kata orang itu ada majoriti orang ini tak ada, ia tidak terpakai.

"Kita serah kepada baginda untuk pilih pemimpin yang baginda yakin boleh membawa negara kita dalam setahun dua tahun akan datang terutamanya dalam mengharungi pandemik Covid-19 ketika ini," katanya.

Pada Isnin, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara pada jam 12.23 tengah hari untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong berhubung status kedudukan jawatannya sebagai Perdana Menteri.