Saksi kejadian kemalangan maut diminta tampil

Anggota bomba yang memakai PPE sedang mengeluarkan mayat dari kereta yang terbakar dalam kejadian pada awal pagi Isnin.
Anggota bomba yang memakai PPE sedang mengeluarkan mayat dari kereta yang terbakar dalam kejadian pada awal pagi Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kemalangan yang mengorbankan tiga individu di Jalan Masjid Negeri, di sini awal pagi Isnin untuk tampil memberi maklumat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, selain itu, mereka yang kehilangan ahli keluarga juga diminta menghubungi balai polis terdekat atau Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian termasuk sesiapa yang ada kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nizam Abdullah di talian 010-9771517 atau menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas mengenai kejadian tersebut, Soffian berkata, tiga individu maut selepas kereta jenis Toyota Vios dinaiki mereka terbabas lalu melanggar sebatang pokok dan terbakar di simpang tiga Jalan Masjid Negeri pada jam 3.05 pagi.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati, kereta tersebut terbakar 90 peratus namun pihak bomba berjaya memadamkan api pada jam 3.20 pagi.

"Hasil pemeriksaan awal pada kenderaan berkenaan terdapat tiga mayat masih berada di tempat duduk kereta iaitu, seorang di bahagian pemandu, seorang di bahagian tempat duduk penumpang hadapan dan seorang lagi di bahagian tempat duduk belakang.

"Kesemua mangsa yang berada dalam keadaan rentung hampir 90 peratus telah berjaya dikeluarkan daripada kereta pada jam 5.40 pagi dan kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, polis gagal mengenalpasti identiti ketiga-tiga mangsa susulan mangsa dan kereta tersebut terbakar hampir 100 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca kemalangan serta mengenal pasti identiti ketiga-tiga mangsa terbabit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengakutan Jalan 1987," katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Operasi Balai Bomba Jalan Perak, Sha'ari Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.55 pagi.

Menurutnya, apabila pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian, mereka mendapati sebuah kereta telah terbakar selepas melanggar sebatang pokok.

"Akibat daripada pelanggaran kuat itu, kereta tersebut terbakar dan ketiga-tiga mangsa yang berada di dalam kereta tidak sempat menyelamatkan diri.

"Ketiga-tiga mangsa yang rentung disahkan maut di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Sha'ari berkata, bomba menggunakan peralatan 'Rescue Tools' dengan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) dalam menjalankan kerja-kerja menyelamat di lokasi kejadian.