Bomba bantu kebumi 151 jenazah mangsa Covid-19

Anggota JBPM Terengganu sedang menguruskan pengebumian salah seorang mangsa Covid-19 di Tanah Perkuburan Kampung Batu Buruk, Kuala Terengganu Foto: ihsan JBPM Terengganu
Anggota JBPM Terengganu sedang menguruskan pengebumian salah seorang mangsa Covid-19 di Tanah Perkuburan Kampung Batu Buruk, Kuala Terengganu Foto: ihsan JBPM Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu turut menyumbangkan kudrat dalam membantu urusan pengebumian jenazah mangsa Covid-19 di negeri ini.

Pengarahnya, Md Hilman Abd Rashid berkata, sehingga kini pihaknya telah membantu menguruskan 151 pengebumian daripada 178 kes kematian akibat Covid-19 di negeri ini sehingga Ahad.

Beliau berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan di semua daerah bagi melaksanakan tugas-tugas khas membantu menguruskan pengebumian mangsa Covid-19 di negeri ini.

"Selain tugas tugas hakiki jabatan bomba seperti memadam kebakaran dan kemalangan, urusan pengkebumian jenazah pesakit Covid -19 turut menjadi salah satu tanggungjawab sosial agensi kepada masyarakat.

"Bagi tujuan itu, seramai 10 anggota ditugaskan bagi mengurus pengebumian, manakala tiga anggota ditugaskan untuk melakukan proses disinfeksi kepada anggota terlibat menggunakan Mobile Disinfection Chamber (MoDic)," katanya ketika dihubungi SInar Harian pada Isnin.

Mengulas lanjut, Md Hilman berkata, anggota yang terlibat dalam urusan pengebumian diwajibkan mengenakan peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap dan melakukan proses sanitasi sebaik tugas selesai.

"Langkah ini bagi memastikan tahap keselamatan anggota terjamin dan tidak berlaku penularan Covid-19 kerana mereka turut berdepan dengan risiko jangkitan wabak itu sepanjang menjalankan tugas," katanya,

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 203 anggotanya menjalani kuarantin akibat wabak itu di mana 107 daripadanya telah disahkan positif.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun hanya 17 anggota masih dijangkiti dan menjalani kuarantin di rumah masing-masing manakala 883 anggota pelbagai pangkat telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin," jelasnya.