Anak sulung Harussani meninggal dunia akibat Covid-19

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Anak sulung kepada bekas Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria, A Abdul Hakim Mazhar, 54, meninggal dunia akibat Covid-19 pada Isnin.

Allahyarham Abdul Hakim menghembus nafas terakhir sekitar jam 3.16 pagi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Adik bongsu Allahyarham, Datuk Ahmad Wafi berkata, abangnya mempunyai masalah kesihatan dan dirawat di hospital berkenaan sejak Sabtu lalu selepas disahkan positif Covid-19.

"Jenazah akan dikebumikan pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat iaitu tanah perkuburan yang sama Allahyarham bapa kami dikebumikan.

"Kami sekeluarga reda dengan keadaan ini namun sedihkan emak yang menghadapi dua kehilangan ahli keluarga selepas bapa kami meninggal dunia pada Mei lalu," katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak masing-masing dua lelaki dan dua perempuan berusia antara 19 hingga 28 tahun.

Pada 30 Mei lalu, Allahyarham Harussani, 82, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HRPB kerana Covid-19 yang ketika itu turut menjangkiti isteri Allahyarham, Puan Seri Ainon Abdul Ghani.

Artikel Berkaitan: