Tiga NGO gesa pelantikan Roziah sebagai Naib Canselor UiTM kekal

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga badan bukan kerajaan (NGO) mendesak agar pelantikan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Roziah Mohd Janor sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang baharu dikekalkan agar isu berkaitan pelantikan Naib Canselor UiTM ditamatkan segera.

Desakan itu dinyatakan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Alumni GPMS Kebangsaan dan Persatuan Alumni GPMS UiTM (PAGU).

Menerusi satu kenyataan bersama pada Isnin, tiga NGO terlibat berkata, pelantikan Roziah yang ketika ini sudah pun memangku jawatan Naib Canselor UiTM wajar diteruskan agar segala perancangan dan strategi untuk memartabatkan institusi pendidikan terpenting bangsa Melayu ini tidak tergendala dan terbantut.

"Kami yakin dan percaya bahawa pelantikan ini telah melalui proses saringan dan temuduga yang sepatutnya.

"Jawatankuasa Khas Temuduga Kenaikan Pangkat Naib Canselor UiTM yang dipengerusikan oleh Pro Canselor UiTM, Tan Sri Zarinah Sameehah Anwar telah pun mencadangkan nama-nama yang diputuskan terbaik kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebelum pelantikan secara sah dibuat pada 2 Ogos lalu oleh Menteri Pengajian Tinggi (ketika itu), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad," kata kenyataan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: PAUiTM, MPP gesa isu pelantikan Naib Canselor diselesaikan segera

UiTM bakal terima Naib Canselor wanita pertama?

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden GPMS, Mohd Alif Anas Md Noor; Presiden Persatuan Alumni GPMS Kebangsaan, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad dan Presiden PAGU, Mohd Sabaruddin Daud.

Sehubungan itu, mereka berpandangan surat penangguhan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Profesor Datuk Dr Husaini Omar pada 7 Ogos yang memaklumkan penangguhan lantikan jawatan Naib Canselor itu sebagai tindakan yang tidak boleh diterima.

"Lebih seminggu surat berkenaan dikeluarkan, masih tiada sebarang penerangan yang jelas tentang alasan penangguhan dibuat. Hal ini bukan sahaja menimbulkan spekulasi campur tangan pihak tertentu, malah dikhuatiri juga tidak dibuat mengikut peruntukan perundangan yang ada.

"Kami khuatir kekosongan jawatan nombor satu di UiTM yang telahpun tertangguh selama lebih lima bulan ini menyukarkan pengurusan pentadbiran UiTM sehingga akhirnya bakal memberi kesan kepada prestasi universiti," ujar kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Justeru, mereka menggesa agar segala langkah yang diambil berkaitan pemilihan itu dibuat atas dasar merit individu seperti pengalaman pentadbiran dan baki tempoh dalam perkhidmatan serta kepentingan institusi secara keseluruhan tanpa sebarang campur tangan pihak luar yang berkepentingan.

"Kami sangat berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan sesegera yang mungkin agar UiTM dapat terus menunaikan tanggungjawabnya pada tahap terbaik seterusnya mencapai matlamat penubuhan institusi keramat ini untuk memartabatkan pendidikan bangsa Melayu," kata kenyataan itu.