'Prestasi KDNK suku kedua 2021 sepatutnya lebih baik'

KDNK Malaysia bagi tempoh suku kedua 2021 berkemungkinan mencatat prestasi lebih baik sekiranya tidak mengalami gangguan akibat penutupan sebahagian ekonomi di bawah Fasa Satu PPN dan kawalan lain bagi melandaikan keluk Covid-19. Gambar hiasan
KDNK Malaysia bagi tempoh suku kedua 2021 berkemungkinan mencatat prestasi lebih baik sekiranya tidak mengalami gangguan akibat penutupan sebahagian ekonomi di bawah Fasa Satu PPN dan kawalan lain bagi melandaikan keluk Covid-19. Gambar hiasan
A
A
A

PERTUMBUHAN Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tempoh suku kedua 2021 berkemungkinan mencatat prestasi lebih baik sekiranya tidak mengalami gangguan akibat penutupan sebahagian ekonomi di bawah Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kawalan lain bagi melandaikan keluk Covid-19.

PublicInvest Research menerusi nota penyelidikannya pada Isnin berkata, pertumbuhan tersebut turut didorong oleh asas lebih rendah susulan suku kedua 2020 yang menyaksikan KDNK susut ketara pada negatif 17.2 peratus selepas ekonomi dunia ditutup akibat pandemik tersebut.

“Output suku kedua 2021 turut mendapat sokongan daripada pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan fiskal bernilai RM530 bilion (menyamai 39 peratus daripada KDNK) serta langkah monetari dengan kadar faedah utama telah dikekalkan pada paras terendah sejak Julai 2020,” katanya.

Sementara itu, Moody’s Analytics turut berkongsi pandangan sama bahawa peningkatan ketara KDNK suku kedua 2021 tersebut memaparkan kesan daripada perbandingan asas yang lebih rendah.

Menerusi nota penyelidikannya, firma itu berkata, ekonomi Malaysia memaparkan tanda-tanda pemulihan yang disumbangkan oleh faktor eksport yang berdaya tahan dan juala runcit yang agak baik pada tempoh terbabit.

Bagaimanapun, momentum tersebut telah dijejaskan oleh kemunculan kes-kes jangkitan varian Delta Covid-19.

“Eksport sememangnya menjadi talian hayat untuk Malaysia. Ini merupakan keutamaan negara bagi melindungi pembuatan serta perdagangan asing untuk menyokong ekonomi domestik pada separuh kedua tahun ini.

“Namun, laluan ke arah pemulihan itu memakan masa dan Malaysia kekurangan kekuatan untuk memasuki bulan ketiga kawalan pergerakan itu pada Ogos,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Firma penyelidikan itu turut mengulas langkah Bank Negara Malaysia melakukan semakan semula unjuran pertumbuhan KDNK 2021 yang dikurangkan kepada 3.0 peratus hingga 4.0 peratus berbanding 6.0 peratus hingga 7.5 peratus sebelum ini.

“Unjuran awal kami bagi pertumbuhan KDNK tahunan pada suku September memaparkan pandangan semakan semula yang diturunkan akibat keadaan ekonomi.

“Kami mengunjurkan KDNK tahun penuh 2021 pada 4.7 peratus. Namun, memandangkan keadaan Covid-19 yang belum reda di Malaysia, unjuran tahunan KDNK itu berkemungkinan besar turut bergantung kepada semakan turun seterusnya pada September ini,” katanya. - Bernama