Yee Fatt akur keputusan Perak FC

YEE FATT
YEE FATT
A
A
A

KETUA Jurulatih Perak FC, Chong Yee Fatt akan menemui pihak pengurusan kelab hari ini bagi membincangkan secara terperinci berhubung masa depannya bersama skuad The Bos Gaurus.

Beliau berkata, buat masa ini kontrak yang ditandatangani bersama pasukan pada pertengahan Mac lalu masih berbaki sehingga penghujung November tahun depan.

“Sebelum ini, saya hanya dimaklumkan menerusi panggilan telefon oleh Pengurus Besar Perak FC, Azman Noh bahawa tugas saya selaku jurulatih direhatkan buat sementara.

“Jadi, saya rasa perlu ada perbincangan secara terus dengan beliau (Azman) untuk mengetahui lebih terperinci tentang masa depan saya bersama pasukan,” katanya ketika dihubungi Bernama, pada Ahad.

Pada 2 Ogos lalu, Perak FC menerusi kenyataan media di laman Facebook rasmi kelab mengesahkan Yee Fatt direhatkan berkuat kuasa serta merta dan tugas beliau dipangku penolong jurulatih, Mohd Shahril Nizam Khalil dalam tempoh dua minggu bermula dengan aksi menentang Penang FC di Stadium Perak pada 3 Ogos lepas.

Bagaimanapun pada Jumaat lepas, Azman memberitahu Bernama, khidmat Mohd Shahril akan diteruskan sehingga akhir musim ini meskipun Perak FC masih ketandusan kemenangan dan sekadar menghuni tangga kedua tercorot Liga Super selepas mengharungi 18 perlawanan.

Yee Fatt berkata, beliau menerima segala keputusan dibuat oleh pihak pengurusan kelab dalam sesi perbincangan yang bakal menentukan masa depannya bersama pasukan.

“Ini adalah adat dan percaturan dalam dunia bola sepak. Saya terima semuanya dengan hati terbuka dan tidak akan sesekali menuding jari kepada mana-mana pihak jika keputusan yang dibuat tidak memihak kepada saya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau secara peribadi memohon maaf kerana kegagalan membawa Perak FC ke tahap yang lebih membanggakan sekali gus menjadi pencabar dalam merebut kejuaraan Liga Super seperti disasarkan oleh banyak pihak terutama para penyokong pasukan.

“Saya memang kecewa kerana prestasi pasukan tidak mencapai tahap yang kita mahukan. Ditambah pula kehilangan ramai pemain utama yang berhijrah ke pasukan lain. Jadi, pelan yang dirancang dari awal tidak menjadi seperti yang diharapkan,” katanya. - Bernama