X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 28 November 2021

MOTAC rancang laksana gelembung pelancongan di destinasi utama

MOTAC merancang untuk melaksanakan pendekatan gelembung pelancongan di destinasi pelancongan utama negara selain Langkawi. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) merancang untuk melaksanakan pendekatan gelembung pelancongan di destinasi pelancongan utama negara selain Langkawi, kata Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Dalam satu kenyataan pada Ahad beliau berkata, pendekatan gelembung pelancongan berkenaan adalah bagi lokasi yang mempunyai kaedah kawalan pergerakan keluar masuk pelancong yang mudah dikawal seperti pulau peranginan.

MOTAC kata beliau, menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad bahawa kerajaan sedang meneliti pandangan serta maklum balas pihak berkepentingan berhubung perancangan menjadikan Langkawi sebagai projek rintis destinasi gelembung pelancongan.

"Langkah berkenaan dibuat atas pertimbangan berdasarkan tiga aspek utama iaitu kesihatan dan keselamatan rakyat, ekonomi rakyat dan kelangsungan perniagaan serta kesejahteraan rakyat," kata Nancy.

Menurut kenyataan Muhyiddin, Kementerian Kesihatan dan pakar kesihatan menyarankan agar projek rintis berkenaan dilaksanakan hanya apabila kadar vaksinasi lengkap penduduk Langkawi mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus daripada jumlah keseluruhan populasinya, yang dianggarkan 108,400 orang.

Kumpulan yang dibenarkan melancong ke Langkawi kelak terhad kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

Nancy berkata, penduduk di pulau itu yang telah menerima vaksin dos pertama dan kedua adalah seramai 88,137 dan tahap imuniti kelompok dijangka berjaya dicapai pada hujung bulan ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!