Tun M minta jaga sensitiviti agama, kaum

Mahathir Mohamed - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Mahathir Mohamed - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PUTRAJAYA - Semua pihak terutamanya pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu menjaga sensitiviti kaum dan agama dalam negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebagai parti gabungan yang terdiri daripada pelbagai kaum, setiap kenyataan yang dikeluarkan tidak sepatutnya menyakitkan hati mana-mana kaum dan agama, kata beliau yang juga Pengerusi PH.

"Sama ada kita Islam atau bukan Islam tetapi teguran terhadap kaum dan agama lain jangan dilakukan oleh kita.

"Kalau ada masalah hubungan, kita perlu rujuk kepada kerajaan dan bukan keluarkan pendapat kepada khalayak ramai. Itu bukan cara kita," katanya ketika berucap pada Sesi Pemukiman Kerajaan Negeri Johor bersama kepimpinan Kerajaan Persekutuan, di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata perbincangan perlu dibuat secara dalam parti supaya penyelesaian dapat dicari, yang pastinya memerlukan tolak ansur daripada semua pihak.

Dr Mahathir turut menarik perhatian bahawa semua empat parti komponen PH iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia, PKR, Parti Amanah Negara dan DAP tidak boleh hanya bergerak untuk parti masing-masing.

Tegasnya, semua parti perlu bekerjasama erat supaya manfaat maksimum daripada parti gabungan itu tidak akan diperolehi.

Dr Mahathir berkata walaupun berlainan parti, namun hasrat kerajaan adalah sama iaitu untuk membangunkan negara dan negeri yang diperintah.

Artikel Berkaitan:

Justeru, katanya pertemuan lebih kerap perlu diadakan untuk bertukar-tukar fikiran mengenai kegiatan parti peringkat pusat dan negeri dan seterusnya menyumbang kepada kejayaan parti sebagai pemerintah.

"Pemerintah berbeza dengan pembangkang. Kalau kita tidak berjaya, kita akan dikritik dan ditolak dan mungkin akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.- Bernama