X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Taliban mara ke Kabul

Anggota Taliban dikerumuni penduduk di Jalalabad sehari selepas wilayah itu dikuasai kumpulan militan tersebut. - Foto AFP
A
A

KABUL - Pemberontak Taliban akhirnya memasuki ibu negara Afghanistan pada Ahad selepas ia berjaya menawan beberapa ibu kota wilayah sejak kebangkitan semula kumpulan militan itu pada Mei lalu susulan pengunduran tentera asing yang disifatkan sebagai satu kesilapan besar oleh banyak pihak.

Pegawai kanan di Kementerian Dalam Negeri memaklumkan Taliban ‘mara ke Kabul dari pelbagai arah’, namun tidak memberikan butiran lanjut tentang kemaraan kumpulan berkenaan yang dijangka menggugat kestabilan pemerintahan negara itu.

Akaun Twitter Istana Presiden Afghanistan turut mengesahkan tembakan bertalu-talu kedengaran di beberapa titik sekitar Kabul, namun pasukan keselamatan dengan bantuan antarabangsa masih mengawal bandar tersebut.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Abdul Sattar Mirzakwal memberi jaminan akan berlaku pemindahan kuasa secara aman kepada kerajaan peralihan.

Taliban dalam satu kenyataan juga menyatakan mereka tidak mahu lebih banyak nyawa terkorban walaupun ia belum mengisytiharkan pelaksanaan gencatan senjata.

Ketika ini, Amerika Syarikat (AS) turut menggiatkan usaha untuk membawa keluar diplomat dari kedutaan mereka di daerah Wazir Akbar Khan malah pasukan tentera turut membantu proses pemindahan tersebut.

Sementara itu, jurucakap Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengesahkan beberapa kakitangan Kesatuan Eropah (EU) telah dipindahkan ke tempat lebih selamat di ibu negara.

Pada minggu lalu, risikan di Washington menjangkakan Kabul mungkin bebas daripada cengkaman Taliban untuk tempoh tiga bulan selepas kumpulan militan tersebut semakin mara ke kebanyakan bandar utama dalam tempoh 10 hari.

Pada awal pagi Ahad, Taliban turut menguasai bandar Jalalabad tanpa berlaku sebarang insiden pertempuran dan pos pemeriksaan Torkham bersempadan Pakistan sekali gus menjadikan lapangan terbang Kabul sebagai satu-satunya jalan keluar dari negara itu berikutan ia masih dikawal pemerintah.

“Gabenor Jalalabad terpaksa menyerah diri kepada Taliban bagi menyelamatkan nyawa orang awam,” ujar jurucakap pemerintah.

Kemaraan Taliban itu dilaporkan selepas ia menawan bandar Mazar-i-Sharif yang merupakan hab perdagangan penting di negara Asia Tengah tersebut pada lewat Sabtu tanpa kejadian pertempuran sengit.

Dalam perkembangan berkaitan, Uzbekistan memakalumkan seramai 84 anggota tentera Afghanistan merentasi sempadan ke negara itu dan mereka turut menawarkan bantuan kemanusiaan kepada pasukan berkenaan yang terpaksa melarikan diri daripada Taliban. - Agensi


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!