Siasatan sudah lama selesai: USAS

No Image Caption
A
A
A

KUALA KANGSAR - Siasatan bebas mengenai dakwaan salah urus Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) telah lama selesai.

Pengerusi Lembaga Pengarah USAS Berhad, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin berkata, kajian penyiasatan yang dijalankan firma audit bebas, PricewaterhouseCoopers Risk Services Sdn Bhd (PwC) itu turut mengenal pasti beberapa ruang dan kelemahan dalam tadbir urus universiti.

“Firma audit ini dilantik oleh Jawatankuasa Lembaga Penyiasatan yang ditubuhkan pada 13 Julai tahun lalu untuk membantu dalam kajian tersebut.

“Semua penyiasatan berhubung dakwaan salah urus ini telahpun disempurnakan dan kita menerima komitmen tinggi daripada Pengurusan Eksekutif universiti dalam menangani isu-isu yang dikenal pasti oleh PwC,” katanya.

Menurutnya, sebagai langkah ke hadapan, USAS akan merangka pelan penambahbaikan dengan segera dan mengukuhkan rangka kerja tadbir urus dalaman serta proses-proses pengurusan.

“Naib Canselor Universiti, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi telah diarahkan untuk kembali bertugas daripada cuti sukarela beliau, berkuat kuasa pada 1 Februari lalu dan beliau ditugaskan untuk melaksanakan pelan-pelan penambahbaikan ini di bawah pengawasan Lembaga,” katanya.

Terdahulu, Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari dilapor berkata, kerajaan negeri akan menyiasat isu tanah seluas 2,428 hektar yang diberikan kerajaan negeri kepada USAS yang didakwa berlaku salah guna kuasa.

Menerusi laporan audit diterimanya dua bulan lalu menunjukkan terdapat beberapa isu membabitkan pengurusan terdahulu selain tanah yang dimiliki USAS untuk kegiatan pembalakan, pertanian dan perlombongan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Dr Wan Mohd Zahid berkata, kenyataan dibuat Abdul Aziz yang juga merupakan ahli baharu Lembaga Pengarah Universiti (LPU) itu dibuat sebelum beliau mendengar taklimat penuh penyiasatan PwC.

“Justeru kenyataan tersebut hendaklah diabaikan, beliau juga menyesali kenyataannya seperti yang disiarkan dalam akhbar yang telah dibuat tanpa pengetahuan penuh tentang fakta sebenar,” katanya.

Jelasnya, Lembaga Pengarah USAS Berhad sentiasa komited dalam memastikan institusi akademik itu mengamalkan urus tadbir yang terbaik.

“Keputusan ini dibuat dengan hasrat serta niat yang tinggi untuk memenuhi tanggungjawab tersebut,” katanya.

USAS dahulunya dikenali Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) dinaiktaraf menjadi universiti penuh pada 2016.

Selain Abdul Aziz, ahli-ahli baharu dalam LPU adalah Datuk Dr Muhammad Nur Manuty dan Datuk Kamel Mohamad.