Kemudahan sektor ekonomi suntik nafas baharu PMKS

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kemudahan bagi sektor ekonomi yang membenarkan perniagaan beroperasi semula merupakan langkah yang tepat bagi membantu usahawan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) membuka kembali perniagaan mereka secara berperingkat.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sekiranya tidak dimulakan sekarang, kesannya terutama terhadap pengusaha perniagaan dan pekerja-pekerja mereka akan semakin parah.

“Kerajaan telah membuat penelitian dan pertimbangan sewajarnya bagi membolehkan sektor ekonomi beroperasi seperti sediakala.

“Nasib rakyat terutamanya golongan PMKS yang kehilangan sumber pendapatan merupakan intipati penting yang diambil kira sebelum keputusan ini dibuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Junaidi berkata MEDAC memang amat peka dengan masalah dan cabaran yang dihadapi oleh usahawan dalam sektor non-essential ini, yang mewakili hampir 90 peratus daripada sektor PKS di Malaysia.

Sekiranya kumpulan tersebut tidak ditolong, ada kemungkinan empat juta warga tempatan akan kehilangan pekerjaan, katanya.

Justeru, PMKS yang tersenarai dalam perniagaan boleh beroperasi semula tersebut perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis mereka, mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

“Dengan pengumuman ini diharapkan usahawan dapat meneruskan kelangsungan operasi perniagaan mereka dalam tempoh yang sukar ini,” kata Wan Junaidi. - Bernama

Artikel Berkaitan: