X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

KPLB peruntuk RM1.3 juta baiki 100 rumah rosak akibat ribut

Che Zakaria (tengah) menyerahkan sumbangan kepada Bendahari JPKK Felda Air Tawar 5, Salabiah Mohd Said bagi program vaksinasi di Pejabat Kejora, Bandar Penawar, Kota Tinggi pada Ahad.
A
A

KOTA TINGGI - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyalurkan peruntukan RM1.3 juta untuk membaiki 100 buah rumah yang rosak dalam kejadian ribut di Tanjung Sedili bulan lalu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Datuk Che Zakaria Mohd Salleh berkata, pihak Kejora diberi tanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja membaik pulih rumah mangsa ribut berkenaan.

"Mangsa ribut yang menerima bantuan ini adalah mereka yang tersenarai di bawah E-kasih. Seramai 15 daripada 40 kontraktor yang layak sudah dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih.

"Kerja-kerja membaik pulih 72 rumah akan diadakan bermula 25 Ogos ini manakala 28 buah lagi akan dilaksanakan sesi cabutan undi selepas kerja-kerja siasatan dan verifikasi selesai dijalankan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada Ketua Kampung Felda Air Tawar 5, Azmee Khan Hamzah untuk Program Vaksinasi Berkelompok Felda Air Tawar 5 di Pejabat Kejora, Bandar Penawar di sini pada Ahad.

Dalam kejadian ribut pada 23 Julai lalu, sebanyak 366 buah rumah di tujuh kawasan rosak iaitu di Kampung Sri Gading; Kampung Teluk Jeri; Kampung Teluk Jeri Luar; Kampung Teluk Jeri Dalam; Kampung Tanah Putih; Taman Sedili dan Kampung Sedili Besar.

Sebanyak 13 buah rumah telah dibaiki terlebih dahulu dengan kos dibiayai Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) manakala selebihnya dibiayai pihak Kejora, Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) dan Pejabat Daerah Kota Tinggi.

Dalam pada itu, Che Zakaria berkata, setiap rumah akan dibaiki mengikut nilai kerosakan dengan peruntukan tidak lebih RM13,000 bagi setiap kediaman.

"Peruntukan KPLB ini diluluskan selepas pihak Kejora melakukan lawatan di kawasan ribut Tanjung Sedili pada 30 dan 31 Julai lalu. Kejora berterima kasih kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad kerana segera meluluskan peruntukan ini.

"Kejora akan sentiasa memberi keutamaan untuk bersama-sama kerajaan negeri dan KPLB untuk menangani isu-isu yang berkait rapat dengan membela nasib rakyat khususnya dalam menghadapi situasi bencana seperti ini," katanya.

Sementara itu, Azmee Khan merakamkan penghargaan kepada Che Zakaria yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas yang menghulurkan sumbangan tersebut untuk program vaksinasi.

Menurutnya, seramai 900 penduduk Felda itu akan divaksinasi pada 21 Ogos ini sekali gus akan menjadikan 70 peratus penduduknya yang berusia 18 tahun ke atas lengkap divaksin.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!