Wanita diugut bekas teman lelaki sebar video, gambar aib

PDRM
PDRM
A
A
A

BESUT - Seorang wanita hidup dalam ketakutan selepas diugut bekas teman lelakinya yang mahu menyebarkan video dan gambar aibnya di media sosial termasuk kepada ahli keluarganya.

Mangsa wanita berusia 25 tahun itu mendakwa menerima ugutan itu pada Jumaat lalu selepas suspek, 20, menghantar mesej menerusi aplikasi Facebook peribadinya memaklumkan dia akan sebarkan video serta gambar aib milik mangsa di media sosial.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, suspek turut mengugut akan menghantar gambar aib itu kepada ayah mangsa termasuk kenalannya di Facebook.

Menurut beliau, namun pada hari itu juga mangsa dimaklumkan bahawa adiknya ada menerima beberapa keping gambar aibnya yang dihantar oleh suspek menerusi aplikasi WhatsApp.

"Selain itu, suspek juga menghantar gambar aib itu kepada ibu mangsa tetapi telah dipadamkan sebelum sempat dilihat.

"Mangsa mendakwa suspek bertindak sedemikian selepas tidak berpuas hati dengan keputusannya yang meminta hubungan mereka diputuskan pada awal Julai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Abdul Rozak berkata, mangsa mendakwa mengambil keputusan itu selepas tidak tahan dengan sikap panas baran suspek yang sering memukulnya sepanjang menjalinkan hubungan.

Katanya, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Jerteh di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998," katanya.