UMNO Selangor mahu MN terus kerjasama PRU15

Noh
Noh
A
A
A

TANJONG KARANG - UMNO Selangor berharap kerjasama antara parti itu dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) akan terus kekal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau akan meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meneruskan kerjasama dengan Pas di Selangor.

"Saya mengharapkan kerjasama MN diberi keutamaan terutama di negeri Selangor dan berharap Pas juga beri kebenaran agar kerjasama ini kekal terjalin," katanya ketika sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang di sini pada Ahad.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, MN Selangor mempunyai hubungan rapat dan sering mengadakan perjumpaan.

"UMNO Selangor misalnya, empat atau lima hari lalu mengadakan perjumpaan dengan Pas dan jika ada apa-apa masalah kami duduk bincang, malah jika ada kenyataan media kami buat secara bersama," ujarnya.

Justeru, katanya, kedua-dua parti itu diminta saling menginsafi berikutan UMNO dan Pas hanya berperanan sebagai pembangkang di negeri ini.

"Kami (MN Selangor) pembangkang dan matlamat kami hendak ambil alih kerajaan di bawah MN," jelasnya.

Mengulas lanjut, katanya, di peringkat MN Selangor, soal pembahagian kerusi juga sudah dibincangkan bagi menghadapi PRU15.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, soal pengagihan kerusi kita serah kepada pucuk pimpinan untuk tentukan," katanya.