71.36 peratus penduduk dewasa Kuala Selangor lengkap divaksin

Mohd Faizal pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di PPV IPP Tanjong Karang di sini pada Ahad.
Mohd Faizal pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di PPV IPP Tanjong Karang di sini pada Ahad.
A
A
A

TANJONG KARANG - Sebanyak 71.36 peratus atau 127,744 penduduk dewasa berusia 18 tahun ke atas di daerah Kuala Selangor sudah melengkapkan dua dos suntikan Covid-19 sehingga Jumaat.

Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Raji berkata, jumlah peratusan itu diperoleh berdasarkan rekod tiga buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah berkenaan.

Menurutnya, tiga PPV itu ialah di PPV Univerisiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Stadium Tertutup Kuala Selangor dan Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang.

"Sebanyak 111,258 dos telah diberikan di PPV UiTM Puncak Alam, manakala 98,399 dos di Stadium Tertutup Kuala Selangor dan 59,405 dos lagi di IPP Tanjong Karang dengan jumlah keseluruhan 321,658 dos," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar semasa melakukan tinjauan di PPV IPP Tanjong Karang di sini pada Ahad.

Mohd Faizal berkata, pihaknya menyasarkan kira-kira 90 peratus penduduk di daerah itu lengkap menerima dua dos vaksinasi sehingga hujung Ogos ini.

Beliau memberitahu, selain itu, seramai 6,704 penduduk sekitar daerah itu telah menerima suntikan menerusi program bantuan (outreach) vaksinasi yang dijalankan secara mobil.

Jelas beliau, program vaksinasi secara mobil yang dikendalikan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Selangor itu dilaksanakan bagi membolehkan proses vaksinasi dilakukan secara bergerak ke penempatan penduduk.

Artikel Berkaitan:

"Ini secara tidak langsung memudahkan penduduk menerima suntikan di rumah sahaja membabitkan penduduk di pedalaman, pesakit terlantar dan pelbagai kategori lain.

"Justeru itu, mana-mana individu kategori terbabit yang inginkan perkhidmatan secara mobil bolehlah terus menghubungi PKD Kuala Selangor," katanya.