Pharmaniaga bekalkan enam juta dos tambahan Sinovac kepada KKM

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) akan membekalkan enam juta dos tambahan vaksin Covid-19 jenis Sinovac kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bekalan tambahan itu akan diberikan setelah surat penerimaan (LoA) dikeluarkan oleh pihak kementerian yang akan ditandatangani Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope, ia adalah bekalan tambahan kepada dua juta dos Sinovac seperti yang ditempah oleh KKM pada 26 Julai lalu.

Beliau berkata, pihaknya berbesar hati dan berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan untuk meneruskan bekalan dan pengedaran vaksin jenis Sinovac bagi membantu mengekalkan momentum kadar vaksinasi yang tinggi.

"Keupayaan Pharmaniaga untuk membekalkan vaksin dalam kuantiti besar ini terbukti dengan selesainya tempahan tambahan dua juta dos vaksin pada akhir Julai lalu.

"Pihak kami akan berusaha keras bagi memastikan bekalan tambahan enam juta dos ini ditunaikan dalam masa yang tepat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, pada 16 Julai yang lalu, Pharmaniaga telah melengkapkan tempahan bekalan 12.4 juta dos Sinovac kepada kerajaan iaitu kira-kira lima bulan lebih awal dari tarikh yang sepatutnya.

Jelasnya, dengan persetujuan terbaharu ini, jumlah terkumpul buat bekalan vaksin jenama Sinovac juga meningkat kepada 20.4 juta di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Artikel Berkaitan:

"Tambahan enam juta dos ini merupakan kombinasi kaedah 'fill and finish' yang dikeluarkan oleh Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS) dan vaksin siap yang diimport dari China.

"LoA ini akan memastikan Pharmaniaga mula membekal vaksin dengan kadar segera dan dipenuhi menjelang akhir bulan ini," katan beliau.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya yakin bahawa pengagihan bekalan tambahan itu akan berjalan lancar berdasarkan kapasiti sedia ada.

“Dengan peningkatan kapasiti PLS untuk menghasilkan empat juta dos sebulan dan peningkatan kapasiti oleh kilang Sinovac di China, pihak kami dapat memastikan penyediaan dan pengagihan bekalan tambahan vaksin Sinovac ke KKM tanpa mengganggu bekalan vaksin kami yang sedia ada," katanya.