SSM peruntuk RM600,000 untuk Bizgrant Terengganu

Mohd Nurkhuzaini (enam, kiri) bersama penerima SSM Bizgrant dan pegawai kanan SSM pada majlis itu.
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memperuntukkan sejumlah RM600,000 bagi program SSM Bizgrant kepada 200 usahawan Terengganu sepanjang tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, daripada jumlah itu, 10 usahawan terdiri daripada kalangan mahasiswa.

Menurutnya, di bawah program berkenaan, setiap usahawan diberikan bantuan peralatan berjumlah RM3,000, mengikut keperluan usahawan yang terlibat.

“Antara kriteria utama pemilihan adalah melihat kepada kemampuan mereka mengembangkan bisnes sedia ada. Bagi usahawan baharu pula, kita melihat daripada segi kesungguhan mereka dan industri yang mereka nak ceburi itu.

“Lebih membanggakan, 10 mahasiswa turut terpilih, yang mana kita pilih daripada kalangan mereka yang terlibat dengan program keusahawanan, di samping selepas saringan temu duga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil serta Penyerahan SSM Bizgrant Negeri Terengganu anjuran SSM di Dewan Utama, Yayasan Islam Terengganu, di sini, hari ini.