Kerja sambilan tak dapat, pelajar rugi RM21,450

No Image Caption
A
A
A

KEPALA BATAS - [DIKEMAS KINI] Hasrat seorang pelajar institusi pengajian tinggi di sini mencari pendapatan sampingan dengan bekerja sebagai ejen pembelian dalam talian tidak kesampaian apabila dia kerugian RM21,450 selepas diperdaya sindiket yang menawarkan kerja sambilan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pelajar berusia 21 tahun itu dikatakan tertarik dengan tawaran kerja sambilan yang diiklankan di laman sosial sebelum menekan pautan yang disediakan.

Menurutnya, sejurus menekan pautan itu mangsa dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp dan diberi penerangan mengenai tugasan yang perlu dilakukannya bagi jawatan dipohon.

"Mangsa telah diminta untuk melakukan tugas pembelian barangan yang telah ditetapkan oleh pihak 'admin group' iaitu pembayaran bagi setiap pembelian barangan akan dibayar terus ke akaun bank pihak sindiket.

"Pembayaran barang dalam tugasan ini bukanlah untuk pembelian tetapi bertujuan untuk menaikkan rating barangan tersebut di platform jualan dalam talian," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Noorzainy berkata, mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak 10 peratus bagi setiap pembayaran yang dilakukan dan keuntungan akan dibayar setelah mangsa selesai melakukan tugasan tersebut.

Katanya, pada peringkat awal, mangsa telah menerima wang keuntungan yang dijanjikan sehingga mendorong mangsa untuk melakukan lebih banyak transaksi bagi setiap barangan yang ditawarkan sehingga berjumlah RM21,450 secara berperingkat.

"Mangsa hanya sedar ditipu apabila tidak menerima wang keuntungan yang dijanjikan sebelum datang ke balai membuat laporan polis,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Noorzainy berkata, dalam kes berasingan seorang pelajar perempuan mengalami kerugian RM6,095 selepas terpedaya dengan sindiket yang menggunakan modus operandi sama.

Katanya, sepanjang tahun ini sebanyak lima kes direkodkan dengan jumlah keseluruhan kerugian adalah sebanyak RM59,328.

Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya kepada mana-mana individu yang menawarkan peluang pekerjaan sambilan melalui media sosial dengan meminta wang bayaran.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.