56,000 telur aedes wolbachia dilepaskan di Kelantan

Pegawai Kesihatan Daerah Kota Bharu, Dr Izamin Idris (dua dari kanan) melakukan proses melepaskan telur aedes wolbachia ke kawasan Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu pada Ahad.
Pegawai Kesihatan Daerah Kota Bharu, Dr Izamin Idris (dua dari kanan) melakukan proses melepaskan telur aedes wolbachia ke kawasan Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Sejumlah 56,000 telur nyamuk aedes wolbachia dilepaskan untuk membiak di dua lokaliti di Kota Bharu menerusi Program Kawalan Denggi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Pasir Tumboh di sini pada Ahad.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, Kelantan dipilih sebagai negeri ketiga menjalankan program melalui Projek Wolbachia Fasa 3 selepas kejayaan Fasa 1 dan 2 di Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurut beliau, dua lokaliti di negeri ini yang terpilih ialah di Pondok Terusan, Pasir Tumboh dan Kubur Maras berdasarkan kekerapan laporan kes demam denggi dan kepadatan nyamuk aedes aegypti.

“Selain semburan asap berubat atau ‘fogging’, KKM berusaha mengawal denggi menerusi kaedah biologi iaitu membiak nyamuk aedes wolbachia.

“Nyamuk aedes wolbachia adalah nyamuk aedes yang disuntik bakteria wolbachia dan berfungsi untuk merencatkan keupayaan nyamuk aedes daripada menyebarkan virus denggi selepas membiak,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Ahad.

Sebelum itu, Jabatan Kesihatan Kelantan melepaskan telur-telur nyamuk di Pondok Pasir Tumboh diketuai Pegawai Kesihatan Daerah Kota Bharu, Dr Izamin Idris.

Hadir sama, Pegawai Sains Kaji Serangga JKN Kelantan, Norjaiza Muhammad.

Mengulas lanjut, Dr Izani berkata, nyamuk aedes aegypti yang disuntik wolbachia akan memindahkan bakteria kepada nyamuk aedes liar semasa mengawan dan diwarisi generasi seterusnya selepas bertelur menjadikannya selamat daripada menjangkiti aedes kepada manusia.

Artikel Berkaitan:

“Kaedah kawalan aedes ini terbukti berjaya melalui kajian rintis di lapan lapan lokaliti di negeri Selangor yang menunjukkan penurunan kes denggi sebanyak 50 hingga 80 peratus di setiap lokaliti selain mengurangkan penggunaan racun serangga.

“KKM membelanjakan sebanyak RM120,000 atau 50 sen bagi seekor nyamuk aedes wolbachia di setiap lokaliti,” katanya.

Sementara itu, Dr Izamin berkata, proses melepaskan telur aedes dilakukan dengan meletakkan telur di dalam satu bekas kecil bertutup mengandungi air hujan.

“Telur akan menetas jadi jentik-jentik kemudian pupa sebelum dewasa dalam tempoh tujuh hari dan dilepaskan untuk mengawan dengan nyamuk aedes liar.

“Di Pondok Pasir Tumboh, sejumlah 31,600 telur aedes wolbachia akan dilepaskan, manakala di Kubur Maras sejumlah 24,400 telur.

“Proses membebaskan telur dilakukan secara berperingkat sebanyak 10 kali sehingga penghujung Disember ini,” katanya.