'Kembalilah, tempat MP UMNO yang sertai PN tidak pernah hilang'

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

SHAH ALAM – Pemimpin UMNO diseru kembali bersatu hati kerana ruang dan tempat semua ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah hilang dalam parti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keutamaan UMNO pada masa ini adalah untuk memberikan sentuhan kepada penyelesaian krisis nasional dan kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Untuk melakukan perkara ini, UMNO mesti segera bersatu hati dan mengeratkan semula perpaduannya di semua peringkat sama ada ahli, pemimpin apatah lagi ahli-ahli Parlimen.

“Kita mesti kembali menjadi parti yang kuat, bersatu dan memfokuskan kepada perkara yang betul,” jelasnya menerusi kenyataan di Facebooknya pada Ahad.

UMNO sebelum ini terbahagi kepada dua apabila 15 orang ahli Parlimen itu diketuai oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, Naib Presiden atau Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama 22 ahli Parlimen UMNO, MIC (satu) dan MCA (dua) menyokong Muhyiddin dan kerajaan PN.

Mohamed Khaled menambah, yang perlu diingat adalah PN tidak lebih sekadar ruang untuk UMNO menyumbang kepada bangsa dan negara.

“Kita menyokongnya apabila wujud kebaikan yang jelas kepada bangsa dan negara. Kita sanggah saat ia gagal dan sudah tidak berada di landasan yang betul.

Artikel Berkaitan:

“Namun, UMNO tidak hidup hanya untuk hari ini. UMNO melihat masa depan. Atas dasar itu, insya-ALLAH UMNO akan segera meninggalkan episod ini untuk membuka lembaran baharu yang lebih penting,” katanya.

Beliau mengakui perjalanan kesemua ahli dalam UMNO telah mendewasakan.

"Persahabatan mesti kekal dan abadi. Kita jangan sampai berkerat rotan berpatah arang.

“Mereka yang berbeza pandangan dengan kita bukan musuh. Ingat gigi dengan lidah, ada masa tergigit jua,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut mengakui keputusan UMNO menarik sokongan dan keluar daripada PN bukan sahaja memberi kesan langsung kepada PN sebagai sebuah kerajaan dan keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, tetapi parti itu sendiri berhadapan dengan pelbagai cabaran kesan keputusan itu.

Beliau mengakui keputusan sebesar itu mempunyai risiko dan geloranya.

“Sudah lumrah politik, pasti ada badai dan gelombangnya. Yang mustahak adalah cara kita berhadapan dengan segala cabaran tersebut.

“Namun seperti yang telah saya tegaskan berulang kali, perjuangan, kekuatan dan pendirian parti adalah lebih besar dan lebih utama daripada segala kedudukan serta jawatan mana-mana individu atau personaliti,” ujarnya.

UMNO kata beliau, mesti hadir dan berdiri sebagai sebuah ketumbukan orang Melayu yang mempunyai kebersamaan tekad dan kebulatan hati.

“Bukannya berpecah-pecah dan berlainan haluan.

“Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang yang sangat jelas bahawa Perdana Menteri dan PN sudah tidak berupaya untuk mempertahankan kerajaan yang ada,” katanya.