Pochettino bangga aksi Mbape

Rakan-rakan sepasukan meraikan jaringan Mbape. foto: Reuters
Rakan-rakan sepasukan meraikan jaringan Mbape. foto: Reuters
A
A
A

PENGENDALI Paris Saint-Germain (PSG) Mauricio Pochettino menegaskan dia gembira dengan aksi dipamerkan Kylian Mbape ketika membantu kemenangan 4-2 ke atas Strasbourg pada Ahad.

Pochettino berkata, biarpun pemain berusia 23 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid, namun aksi cemerlang Mbape menggambarkan perkara berkenaan (perpindahan), tidak akan berlaku.

Malah menurut Pochettino, dia juga tidak mendengar sebarang cacian terhadap Mbape daripada penyokong yang disifatkannya turut berpuas hati dengan aksi cemerlang yang dipamerkan pemain berkenaan.

“Saya tidak mendengar apa-apa ‘cacian’ terhadap Mbape. Apa pun, saya sangat gembira dengannya kerana dia dilihat begitu fokus ketika beraksi dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

“Dia (Mbape) akan melakukan apa sepatutnya dilakukannya. Bagi saya, Mbape telah melalui satu perlawanan yang baik ketika berdepan Strasbourg.

“Saya percaya dia akan konsisten dengan aksi sedemikian pada perlawanan-perlawanan akan datang dalam usaha membantu kejayaan pasukan,” katanya.

Pada aksi berdepan Strasbourg itu, Mbape menjaringkan gol kedua PSG pada minit ke-25 setelah Mauro Icardi membuka jaringan seawal minit ke-3, Julian Draxler (min-27) dan Pablo Sarabia (min-86) manakala Strasbourg yang beraksi dengan 10 pemain setelah Alexandr Djiku dilayangkan kad merah pada minit ke-81, menjaringkan gol menerusi Kevin Gameiro (min-53) dan Ludovic Ajorque (min-64).

Untuk rekod, sebelum PSG menandatangani kontrak bintang Argentina Lionel Messi, Real Madrid difahamkan telah menyatakan hasrat untuk mendapatkan khidmat Mbape di Santiago Bernabeu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Pochettino berkata, kehadiran beberapa pemain baharu seperti Gianluigi Donnarumma, Gyorgy Wijnaldum, Sergio Ramos, Acraf Hakimi dan juga Lionel Messi bakal memberikannya lebih banyak pilihan bagi menurunkan kesebelasan terbaik PSG musim ini.

Namun katanya, kehadiran kesemua pemain-pemain hebat berkenaan akan lebih bermakna dengan sokongan daripada penyokong yang memenuhi stadium.

“Sebenarnya ia sesuatu yang penting buat kita untuk beraksi di hadapan penyokong. Kami memang rindukan suasana sedemikian kerana bolasepak secara keseluruhannya sungguh berlainan tanpa kehadiran penyokong,” katanya.