Kerajaan akan laksana projek rintis destinasi gelembung pelancongan

Perancangan untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai projek perintis (pilot project) destinasi gelembung pelancongan. - Foto 123RF
Perancangan untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai projek perintis (pilot project) destinasi gelembung pelancongan. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan sedang meneliti pandangan serta maklum balas daripada pemegang taruh berhubung perancangan untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai projek perintis (pilot project) destinasi gelembung pelancongan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perancangan berkenaan penting untuk kerajaan merancakkan semula industri pelancongan selepas lebih setahun terkesan akibat pandemik.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pakar-pakar kesihatan telah menyarankan kerajaan agar melaksanakan perancangan ini hanya apabila kadar vaksinasi lengkap penduduk Pulau Langkawi mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus daripada jumlah keseluruhan populasinya.

"Kumpulan yang dibenarkan melancong ke Pulau Langkawi kelak adalah terhad kepada individu-individu yang telah menerima vaksinasi lengkap," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Memperincikan perkara itu, Muhyiddin berkata, cadangan itu sedang diteliti Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan akan dimuktamadkan melalui beberapa lagi siri perbincangan selepas ini.

Selain Pulau Langkawi, katanya, kerajaan juga mempunyai perancangan untuk melaksanakan pendekatan gelembung pelancongan di lebih banyak destinasi terutamanya yang mempunyai kaedah kawalan pergerakan keluar masuk pelancong yang baik seperti di pulau-pulau peranginan lain yang terdapat di seluruh negara.

"Bagaimanapun, perkara ini masih di peringkat perancangan dan kerajaan akan melihat hasil projek perintis (Pulau Langkawi) terlebih dahulu.

"Jika semua berjalan lancar, Insya-ALLAH gelembung pelancongan akan dilaksanakan secara lebih meluas," katanya.

Artikel Berkaitan: