X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

[VIDEO] Muhyiddin belum sahih letak jawatan

MUHYIDDIN
A
A

WALAUPUN peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri masih belum sahih, namun perkara itu menjadi satu khabar angin yang menggoncang dunia politik negara semalam.

Sehingga kini, belum ada sebarang kepastian sama ada ada Ahli Parlimen Pagoh itu akan meletakkan jawatan atau tidak.

Bagaimanapun beberapa sumber dilaporkan perkara itu sudah diputuskan dan keputusan hanya akan diumumkan esok.

Pemimpin-pemimpin kanan parti terdiri dari UMNO dan juga Bersatu dilihat memasuki kediaman Muhyiddin yang terletak di Bukit Damansara.

Kediaman itu menjadi tumpuan sejak UMNO mengumumkan menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan Perikatan Nasional (PN) pada 30 Julai lalu.

Bagaimanapun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mengesahkan tiada agenda mesyuarat kabinet tergempar dan menolak dakwaan Muhyiddin telah menandatangani surat peletakan jawatannya pada Sabtu.

Redzuan berkata, Bersatu akan mengadakan satu mesyuarat pada jam 9 pagi ini.

Tetapi ada pihak mengatakan bahawa keputusan sudahpun dibuat dan semua perlu menunggu pengumuman rasmi pada Isnin.

Sementara itu, turut dilaporkan semalam ialah mesyuarat tergempar yang dikatakan berlaku di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya tetapi itu tidak berlaku.

Kemudian timbul laporan yang mengatakan bahawa pegawai menteri juga telah mengemas barang-barang dan mengosongkan pejabat masing-masing.

Ada yang sudah melakukan perkara itu sejak UMNO buat keputusan menarik sokongan lagi dan ada yang mengemas barang mereka semalam.

Berdasarkan beberapa laporan media, Muhyiddin akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Isnin ini dan pertemuan itu akan berlangsung menjelang tengah hari.

Beliau juga akan bertemu dengan anggota Kabinet buat kali terakhir pada hari yang sama dan membuat pengumuman.

Namun di sebalik laporan tersebut, ada pihak mendakwa bahawa wujud usaha untuk menggantikan Muhyiddin dengan pemimpin lain dalam PN.

Tetapi umum mengetahui bahawa untuk melakukan perkara itu, Muhyiddin perlu meletakkan jawatan terlebih dahulu sebelum nama ahli Parlimen yang mempunyai sokongan itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum mendapat perkenan.

Malangnya PN sudah tiada lagi majoriti dan ada yang mengatakan bahawa jumlah ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin ialah seramai 100 orang sementara 120 lagi menolak beliau.

Jika benar Muhyiddin akan melepaskan jawatannya esok, timbul persoalan tentang bakal Perdana Menteri Malaysia yang baharu.

Sudah pasti ini mencetuskan satu lagi kemelut atau episod dalam politik negara.

Pada petang Jumaat, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bipartisan di Parlimen.

Pada masa yang sama, ia bagi mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.

Beliau berkata demikian menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan.

Perutusan itu dibuat ekoran timbul dakwaan berhubung status keabsahan beliau sebagai perdana menteri sudah tiada kerana kehilangan majoriti.

Bagaimanapun, tawaran Perdana Menteri itu ditolak majoriti ahli Parlimen pembangkang dari Pakatan Harapan, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) serta ahli Parlimen UMNO yang sebelum ini menarik sokongan kepada beliau.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!