‘Tawaran PM untuk stabilkan politik negara’

Datuk Wan Saiful Wan Jan
Datuk Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menafikan tawaran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mewujudkan kerjasama rentas parti antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan parti di luar kerajaan bersifat rasuah seperti didakwa pihak tertentu.

Sebaliknya, beliau berkata, tawaran itu bertujuan untuk menstabilkan keadaan politik negara sebelum mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang diingini mereka.

“Saya rasa ini (tawaran Muhyiddin) jauh lebih terhormat daripada perbincangan secara jelak yang dibuat antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak diketahui apa kandungannya (perbincangan) sehingga menyebabkan Najib dan Ahmad Zahid sanggup menjatuhkan kerajaan PN.

“Jadi, tawaran yang dibuat Perdana Menteri ini jauh lebih telus lebih baik berbanding apa apa perbincangan secara jelak (antara Ahmad Zahid, Najib dan Anwar),” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.Wan Saiful berkata, tawaran dibuat Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu juga turut mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen komponen parti dalam kerajaan PN.

Jelasnya, sokongan itu juga turut membabitkan lebih separuh daripada ahli Parlimen UMNO.

Wan Saiful dalam masa sama turut positif bahawa tawaran itu akan dipertimbang oleh pihak pembangkang.

“Kenyataan awal dikeluarkan oleh ketua-ketua parti yang menolak tawaran itu dilakukan sebelum perbincangan diadakan.

“Sokongan daripada ahli Parlimen bukan dalam kalangan parti kerajaan sekarang ini mungkin mereka masih dalam sesi perbincangan dan belum ada pengumuman rasmi yang dibuat oleh individu ahli Parlimen tersebut,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin pada Jumaat, menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Beliau berkata, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bipartisan di Parlimen.

Pada masa yang sama, ia bagi mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.