Tujuh cadangan kerajaan tidak merujuk pembentukan kerajaan baharu

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tujuh cadangan rangka persefahaman rentas parti yang dikemukakan dalam ucapan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat tidak merujuk kepada pembentukan sebuah kerajaan baharu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Saifuddin sebaliknya berkata, ia adalah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mendapat dukungan daripada sebahagian ahli Parlimen pembangkang bagi menyelesaikan isu-isu tertentu.

“Dia (cadangan) tidak merujuk kepada pembentukan sebuah kerajaan baharu, tetapi kerajaan PN yang insya-ALLAH jika ada sokongan daripada ahli-ahli Parlimen yang lain termasuk ahli Parlimen pembangkang, maka ia menjadi sebuah kerajaan yang mendapat dukungan daripada sebahagian ahli Parlimen pembangkang, juga dalam isu-isu tertentu, isu-isu yang fundamental,” katanya dalam program Soal Rakyat terbitan TV3 pada Sabtu.

Menurut Saifuddin, tindakan kerajaan PN untuk berunding dengan pimpinan parti di luar kerajaan ialah bagi mewujudkan kerjasama bipartisan demi kestabilan negara, memastikan kerajaan dapat terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 serta menunjukkan politik lebih matang dan inklusif.

Beliau berkata, tujuh cadangan rangka persefahaman rentas parti yang dikemukakan kerajaan itu kepada ahli Parlimen terutama pembangkang adalah satu mercu tanda politik dalam perkembangan politik Malaysia.

Pada masa sama, Saifuddin berkata, jika semua ahli Parlimen berlapang dada tanpa memikirkan untuk menjatuhkan individu lain, terdapat banyak ruang supaya cadangan tersebut dapat dilaksanakan.

“Soal kerajaan minoriti yang ada persefahaman dengan pembangkang ini bukan perkara baharu. Hari ini pun ada lebih kurang 10 atau 12 negara lain di dunia yang mempunyai persefahaman sedemikian rupa.

“Dalam tujuh perkara persefahaman itu, saya lihat ia sangat baik. Sebahagian besarnya itu perkara-perkara yang sudah dibicarakan sejak beberapa tahun lalu, baik oleh parti-parti politik atau masyarakat sivil,” katanya sambil menambah beliau secara peribadi sangat gembira dengan kesemua tujuh cadangan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Saifuddin, politik di Malaysia terlalu serius yang mengakibatkan masyarakat mahupun keluarga masing-masing bergaduh akibat perbezaan pendapat.

“Politik di Malaysia terlalu tajam, bezanya terlalu tajam sehingga menghiris, membawa luka yang besar sampai adik-beradik boleh berkelahi, satu kampung berpecah. Jadi sudah sampai seruan untuk politik bipartisan,” katanya.

Pada Jumaat, kerajaan mengemukakan tujuh cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan sekiranya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Muhyiddin berkata, pihaknya akan menjemput semua pimpinan parti politik dari luar PN untuk berbincang mengenai cadangan itu minggu hadapan, dan beliau sedia mendengar pandangan semua pemimpin politik. - Bernama