Fokus patriotisme kini perangi Covid-19, ketepikan perbezaan politik

Petugas barisan hadapan Anisah Mohd Radzali (tiga, kiri) bersama rakan-rakan mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64 yang akan disambut pada 31 Ogos ini ketika ditemui pada program vaksinasi di Sekolah Kebangsaan Tanggol hari ini. - Foto Bernama
Petugas barisan hadapan Anisah Mohd Radzali (tiga, kiri) bersama rakan-rakan mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64 yang akan disambut pada 31 Ogos ini ketika ditemui pada program vaksinasi di Sekolah Kebangsaan Tanggol hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semangat patriotisme negara kini harus memfokuskan kepada usaha memerangi Covid-19 dan melupakan perbezaan politik, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, keadaan pandemik Covid-19 yang dilalui negara kini tidak seharusnya digunakan untuk menjatuhkan seseorang dan berlebih-lebihan dalam berpolitik.

“Semangat patriotisme ini berdasarkan kepada fokus keperluan, sebagai contoh dahulu apabila diserang penjajah, fokus kita adalah melawan penjajah dan kini fokus patriotisme kita adalah memerangi Covid-19.

“Bagaimanapun di Malaysia, politik kita terlalu tajam, terlalu ‘adversarial’ sehingga apabila Covid-19 pun kita masih berpolitik dan itu seharusnya dikurangkan dengan fokus kepada menggembleng tenaga menangani masalah Covid-19,” katanya dalam program Soal Rakyat terbitan TV3 pada Sabtu.

Ditanya mengenai sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 (HKHM 2021), Saifuddin menggesa kementerian, jabatan dan agensi kerajaan segera menaikkan Jalur Gemilang di bangunan dan premis masing-masing bagi memaparkan tanda kecintaan dan patriotik kepada negara.

Beliau berkata, dalam keadaan norma baharu, kementerian juga menggalakkan aktiviti secara dalam talian bagi menyemarakkan sambutan berkenaan termasuk menganjurkan pertandingan puisi dan bercerita.

“Ini tahun kedua rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada zaman Covid-19 dan sememangnya acara berbentuk besar dan menghimpunkan ramai orang tidak dapat diadakan.

“Bagaimanapun kita menggalakkan aktiviti secara dalam talian sebagai contoh perwakilan Malaysia di seluruh dunia, mereka menyusun nyanyian lagu patriotik dan lagu itu akan dicantumkan oleh Orkestra RTM dan akan dimainkan pada Hari Kebangsaan nanti,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan diadakan di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya pada 31 Ogos, manakala Hari Malaysia akan disambut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada 16 September. - Bernama