Cadangan PM untuk reformasi politik satu langkah ke hadapan

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memuji cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk reformasi politik dalam negara, terutamanya dalam mengehadkan pemegang jawatan Perdana Menteri dua penggal dan menyekat lompat parti.

Ahli Parlimen Santubong itu dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, ia merupakan satu langkah ke arah yang betul bagi mengekang dengan efektif amalan politik wang.

Beliau berkata, langkah itu menunjukkan keikhlasan dan kejujuran Muhyiddin dalam membawa perubahan dalam senario politik tempatan.

Bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu berkata, dua isu ini telah dikenal pasti sebagai punca kepada rasuah di dalam negara ini, namun tiada sesiapa pemimpin politik sebelum ini yang berusaha untuk melakukan sesuatu mengenainya sebelum ini.

“10 tahun adalah satu tempoh yang panjang untuk seseorang memerintah negara. Ia akan menjadi merbahaya jika dibenarkan seseorang untuk memerintah lebih lama daripada itu yang ia akan mempromosikan kleptokrasi.

“Apa yang Muhyiddin lakukan membuktikan kepemimpinannya dan keseriusannya untuk membasmi rasuah,” katanya dan menambah yang beliau juga bersetuju dengan pengubalan undang-undang mempercepatkan proses membenarkan rakyat berusia 18 tahun ke atas untuk mengundi.

Pada Jumaat, Muhyiddin menyampaikan tujuh cadangan reformasi politik dan memerangi Covid-19 yang akan dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah satu cadangan kerjasama bipartisan jika usul undi percaya kepada Perdana Menteri diluluskan di Dewan Rakyat dan mengajak pemimpin parti politik untuk membincangkan cadangan itu minggu hadapan. - Bernama

Artikel Berkaitan: