RUU Anti-Lompat Parti mampu bawa kestabilan politik negara: PBS

Parti Bersatu Sabah
Parti Bersatu Sabah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Bersatu Sabah (PBS) menyokong cadangan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Anti-Lompat Parti menerusi rangka persefahaman rentas parti sekiranya usul undi percaya kepada Perdana Menteri diluluskan, seperti diumum kerajaan pada Jumaat.

Ketua Penerangan PBS, Datuk Julita Majungki berkata, ini kerana cadangan itu diyakini boleh membawa kestabilan politik di peringkat negeri dan persekutuan.

Malah RUU berkenaan merupakan perkara yang telah lama dibawa dan dicadangkan oleh PBS sebelum ini, katanya yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri Matunggong.

“PBS turut menyokong penuh cadangan dan langkah-langkah reformasi dalam pentadbiran yang akan dibuat sekiranya mendapat sokongan rentas parti undi dua pertiga di Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemukakan tujuh cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan sekiranya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Antaranya Muhyiddin berkata, sekiranya kerajaan berjaya mendapatkan sokongan dwipartisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara melebihi majoriti dua pertiga, RUU Pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja serta RUU Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.

Julita berkata, RUU Anti-Lompat Parti itu adalah antara perkara terpenting yang harus disokong sepenuhnya oleh semua Ahli Parlimen kerana impaknya bersifat kekal kepada kestabilan negara dan melindungi suara serta kehendak rakyat yang mengundi wakil rakyat mereka.

“Saya tidak hairan melihat reaksi parti-parti politik pembangkang dari Sabah yang menolak cadangan Perdana Menteri khususnya RUU Anti-Lompat Parti ini kerana mereka tidak dapat menyokong sesuatu yang merugikan mereka atau menghalang mereka untuk berkuasa dengan apa cara sekali pun,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: