Dua bulan buat keputusan setuju terima vaksin

Rohani menjadi penerima vaksin pertama di Dewan Orang Asli Kampung Kuala Kedua, Mukim Siong, Baling pada Sabtu.
Rohani menjadi penerima vaksin pertama di Dewan Orang Asli Kampung Kuala Kedua, Mukim Siong, Baling pada Sabtu.
A
A
A

BALING - Masyarakat orang asli suku Kensui, Lubuk Legong di sini mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan untuk membuat keputusan supaya bersetuju divaksin.

Tok Batin, Razali Kulim berkata, kebanyakan mereka takut untuk menerima suntikan vaksin selepas menerima pelbagai khabar angin mengatakan vaksin memudaratkan kesihatan, selain mahu bergantung pada tumbuhan herba dalam usaha menguatkan antibodi.

Bagaimanapun, katanya, setelah beberapa kali dipujuk dan dijelaskan mengenai kepentingan vaksinasi, akhirnya mereka membuat keputusan bersetuju mendapatkan vaksin.

"Kena pujuk berkali-kali dan jelaskan keadaan sebenar sebab mereka mendapat macam-macam khabar angin mengenai kesan pengambilan vaksin. Antaranya ialah dakwaan mengatakan ada yang meninggal dunia, lumpuh dan tidak boleh bangun selepas divaksin menyebabkan mereka takut.

"Saya jelaskan kepada mereka bahawa saya sendiri sudah divaksin pada Jun lalu dan setakat ini tiada apa yang dirisaukan. Akhirnya mereka yakin," katanya ketika hadir ke Program 'Covid-19 Mobile Outreach Vaccination' di Dewan Orang Asli Kampung Kuala Kedua, Mukim Siong di sini pada Sabtu.

Razali (kanan) menenangkan salah seorang masyarakat Orang Asli yang pada mulanya enggan menerima suntikan vaksin.
Razali (kanan) menenangkan salah seorang masyarakat Orang Asli yang pada mulanya enggan menerima suntikan vaksin.

Artikel Berkaitan:

Razali berkata, walaupun pada mulanya ada yang enggan disuntik setelah tiba di pusat pemberian vaksin, namun semuanya berjaya dikawal dan berjalan lancar.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta semua agensi terlibat yang mengatur program vaksinasi supaya berjalan lancar.

"Pergerakan kami selepas ini lebih yakin terutama ketika mahu melakukan urusan jual beli hasil hutan kepada orang ramai bagi meneruskan kesinambungan hidup serta dapat bekerja seperti biasa," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Siti Aminah Abdullah, 29, mengakui sebelum ini ramai yang takut untuk divaksin, bagaimanapun berubah fikiran selepas dipujuk.

Antara penerima vaksin di Dewan Orang Asli Kampung Kuala Kedua, Mukim Siong, Baling pada Sabtu.
Antara penerima vaksin di Dewan Orang Asli Kampung Kuala Kedua, Mukim Siong, Baling pada Sabtu.

"Kami takut disuntik sebab takut mati, tetapi virus Covid-19 pun kami takut juga. Sebab kami tak keluar mana-mana, ada dalam kampung sahaja.

"Saya harap selepas disuntik, semua orang sihat dan bolehlah keluar ke kedai macam biasa. Suami pun boleh kerja macam biasa," katanya.

Rohani Kulim, 35, pula berkata, dia berdebar-debar sejak diberitahu program vaksinasi akan dijalankan di perkampungan pada minggu lalu.

"Apa pun kami serah pada ALLAH. Walaupun takut, kena vaksin juga. Lagipun kes Covid-19 semakin bertambah," katanya.

Bagi Alang Itam, 34, program vaksinasi yang digerakkan ke kawasan perkampungan orang asli memudahkan mereka menerima suntikan tanpa perlu beratur panjang.

Pada program berkenaan, seramai 300 individu ditawarkan vaksinasi terdiri daripada 200 penduduk orang asli dan 100 masyarakat setempat yang telah disenarai sebagai penerima dos pertama berusia 18 hingga 80 tahun.