X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Malaysia harap India dan Pakistan berunding selesai konflik

Mohamad Sabu - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia berharap India dan Pakistan berunding bagi menyelesaikan konflik yang dihadapi dua negara itu, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata kementeriannya mempunyai hubungan diplomasi yang baik dengan kedua-dua India dan Pakistan dan beliau berharap rundingan segera diambil supaya tidak berlaku peperangan antara kedua-dua negara.

"Cari jalan perundingan supaya tidak berlaku peperangan kerana ia amat bahaya kepada kedua-dua negara dan konflik antara dua kuasa tentera yang agak besar boleh membawa kemusnahan yang dahsyat kepada rakyat mereka,” katanya ketika diminta mengulas mengenai konflik yang melanda India dan Pakistan kini.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) Ke-2 di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Laporan media menyebut ketegangan antara New Delhi dan Islamabad kian meningkat sejak serangan pengganas di Pulwana, India, pada 14 Feb lepas, yang mengorbankan lebih 40 nyawa dan menyebabkan kecederaan kepada berpuluh-puluh yang lain. Ketegangan kian memuncak apabila kedua-dua pihak mendakwa saling menembak jatuh jet tempur satu sama lain baru-baru ini.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Pertahanan bercadang untuk memberi elaun kenangan kepada 68,000 penerima Pingat Jasa Malaysia yang telah berkhidmat pada 1 Jan 1969 sehingga 2 Dis 1989.

Katanya, jumlah elaun yang akan diberikan belum dapat dipastikan dan masih dalam peringkat perbincangan bersama jawatankuasa MVK.

"Selain elaun kenangan, dalam mesyuarat MVK hari ini Bantuan Bakti Negara (BBN) menjadi agenda utama perbincangan bagaimanapun keputusan belum boleh dimuktamadkan lagi,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan pesara tidak berpencen meluahkan rasa terkilan susulan tiada lagi skim BBN sebanyak RM1,200 setahun yang sebelum ini bayaran dibuat menjelang akhir tahun. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!