Polis tahan 5 ahli kongsi gelap, potong kek guna pedang samurai

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menahan lima lelaki menerusi tiga serbuan berasingan pada lewat malam Rabu lepas, susulan satu video yang dimuat naik di Facebook memaparkan majlis sambutan hari jadi, yang berunsurkan aktiviti kongsi gelap.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, menerusi video berdurasi selama 30 saat yang dikesan pihaknya itu, polis mengesyaki kejadian tersebut berlaku di sebuah rumah di kawasan Batu 10 Jalan Kapar, Klang dekat sini.

“Turut di kesan dari hasil pemerhatian dalam video tersebut terdapat logo atau lambang dipercayai dari sebuah kumpulan kongsi gelap (Geng 08), yang telah diwartakan sebagai pertubuhan haram di bawah kesalahan Akta Pertubuhan 1966,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, rakaman video tersebut juga memaparkan, sekumpulan lelaki yang telah melakukan kesalahan melanggar prosedur operasi standard perintah kawalan pergerakan 2021, iaitu gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia.

Nurulhuda berkata, kelima-lima suspek yang berusia lingkungan 17 hingga 24 tahun, dengan tiga daripada mereka mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan, kerana perbuatan cuai yang mungkin boleh menyebabkan jangkitan apa-apa penyakit berjangkit yang boleh membahayakan nyawa.

Nurulhuda berkata, kesemua suspek direman selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Ogos dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut. - Bernama

Artikel Berkaitan: