Lebih 300,000 terima vaksin menerusi Movak

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique (kanan) melihat proses pemberian vaksin selepas melancarkan program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Simpang Pertang hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaludin Alias (dua kanan). Foto Bernama
Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique (kanan) melihat proses pemberian vaksin selepas melancarkan program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Simpang Pertang hari ini. Turut hadir Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaludin Alias (dua kanan). Foto Bernama
A
A
A

JELEBU - Seramai 300,706 penerima vaksin Covid-19 menerusi program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) telah selesai menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama setakat ini, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 201,288 merupakan penerima dos pertama manakala selebihnya sudah lengkap menerima dua suntikan vaksin sejak program itu dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mula dilaksanakan pada 26 Jun lepas.

“Kami sediakan 25 bas dan bergerak ke seluruh negeri. Program ini adalah usaha untuk mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya selepas menyerahkan 250 kotak bantuan makanan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi Parlimen Jelebu di sini pada Sabtu.

Terdahulu, Halimah turut meninjau program Movak yang menyediakan dua bas bagi melancarkan 300 dos suntikan sehari di Dewan Perpaduan Simpang Pertang, Jelebu.

Dalam pada itu, Halimah berkata, kementerian menyalurkan peruntukan RM12.4 juta bagi menyediakan 73,883 kotak makanan yang memanfaatkan keluarga masyarakat India B40 di seluruh negara.

Turut hadir, Pengerusi UDA Holdings Berhad (UDA), Datuk Seri Jalaluddin Alias merangkap Ahli Parlimen Jelebu. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!