Perak kemuka cadangan segera vaksin pekerja restoran, hotel

Saarani (tengah) dan Ahmad Suaidi (kiri) mendengar taklimat mengenai pelaksanaan PKPD Taman Meru 2B daripada Meor Hezbullah ketika meninjau kawasan tersebut pada Sabtu.
Saarani (tengah) dan Ahmad Suaidi (kiri) mendengar taklimat mengenai pelaksanaan PKPD Taman Meru 2B daripada Meor Hezbullah ketika meninjau kawasan tersebut pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya semua pekerja restoran dan kakitangan hotel segera diberikan vaksin sepenuhnya.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, keperluan untuk memberi vaksin lengkap kepada semua pekerja restoran dan hotel itu telah dibincangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) Perak pada Jumaat.

Menurut beliau, cadangan tersebut perlu dipertimbangkan oleh pihak Jawatankuasa Teknikal MKN supaya pelaksanaan kelonggaran kepada individu lengkap divaksin lebih adil.

"Kita berpendapat adalah lebih baik sekiranya pekerja restoran atau hotel menerima vaksin kerana tidak adil kepada pelanggan yang menerima dua dos suntikan vaksin.

"Semalam kita telah putuskan di dalam JKKN negeri dan kita sudah hantar kepada Jawatankuasa Teknikal MKN Pusat. Harap mereka mengambil kira cadangan balas daripada kerajaan negeri Perak," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Meru 2B di sini pada Sabtu.

Hadir sama dalam tinjauan tersebut, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pegawai Daerah Kinta, Meor Hezbullah Meor Abd Malik.

Sementara itu, Saraani turut mengumumkan bahawa Perak dijadual akan menerima lebih 1 juta dos vaksin secara berperingkat pada Ogos dengan 150,720 sudah diterima setakat ini.

Menurut Saraani, jumlah vaksin itu merupakan tertinggi pernah diterima oleh negeri Perak berbanding 824,320 dos yang diterima sepanjang bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

"Dengan jumlah tersebut, Perak dijangka mampu mencapai syarat ketiga nilai ambang iaitu kadar vaksinasi Covid-19 mencecah 40 peratus menjelang September untuk beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Bagaimanapun, faktor jumlah kes harian perlu diambil kira memandangkan untuk memasuki Fasa 3 PPN, jumlah kes harian mestilah di bawah angka 300 kes bagi tujuh hari berturut-turut," katanya.

Saarani berkata, program vaksinasi Perak juga turut merekodkan pencapaian signifikan sepanjang minggu apabila jumlah suntikan harian menunjukkan peningkatan yang sangat baik dengan 39,703 suntikan pada 12 Ogos iaitu kadar suntikan harian tertinggi setakat ini.

Tambah beliau, setakat 13 Ogos, seramai 982,784 atau 52.76 peratus penduduk Perak berusia 18 tahun ke atas sudah menerima suntikan pertama, manakala 630,240 atau 33.84 peratus telah mendapat suntikan dos kedua.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata, kerajaan negeri masih memutuskan sama ada untuk memperluaskan pemberian vaksin tanpa temu janji kepada individu bukan warga emas di negeri ini.

Katanya, sebarang keputusan mengenai perkara tersebut bergantung kepada jumlah vaksin yang diterima mengikut jadual serta sasaran pemberian bagi mengelak orang ramai bersesak-sesak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).