Selangor hampir capai 100 peratus sasaran vaksin Covid-19

Amirudin menyampaikan barang keperluan asas kepada penerima di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Sabtu.
Amirudin menyampaikan barang keperluan asas kepada penerima di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Sabtu.
A
A
A

KLANG - Kerajaan negeri Selangor hampir mencapai sasaran 100 peratus populasi dewasa yang menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di negeri itu sehingga Sabtu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, vaksinasi adalah antara dua perkara penting menjadi keutamaan dalam pengurusan Covid-19 di negeri itu selain kebajikan rakyat.

"Kita sudah hampir capai 100 peratus menerima vaksin dos pertama di seluruh negeri, kalau ada pun yang masih tertinggal mungkin yang tidak mendaftar sahaja lagi.

"Kedua, kita akan meneruskan agihan bantuan ekonomi dan juga sokongan kepada rakyat yang memerlukan melalui program Kita Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian sebelum menyampaikan sumbangan keperluan makanan kepada penerima di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Sabtu.

Program dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Love and Care Selangor turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George.

Dalam pada itu, Amirudin menggesa individu masih belum mendaftar sebagai penerima vaksin untuk segera berbuat demikian dalam usaha menurunkan kes Covid-19.

"Kalau ada yang tidak daftar boleh rujuk ke pejabat DUN dan sebagainya. kita akan minta mereka untuk divaksin sebab vaksin boleh turunkan kes dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau yakin apabila lebih ramai individu tampil untuk mendaftar kemungkinan perkembangan dan suasana Covid-19 di negeri Selangor akan berbeza pada September ini.

Pada Khamis, Amirudin dilaporkan berkata, kes Covid-19 kategori tiga hingga lima akan menurun hujung bulan ini atau September menerusi proses vaksinasi yang dijadualkan.

Sementara pada 16 Julai lalu, beliau turut berkata, semua rakyat negeri berkenaan yang mendaftar akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos.

Menyentuh soal kebajikan pula, Amirudin berkata, kerajaan negeri konsisten dalam menyalurkan pelbagai bantuan termasuk kepada syarikat, peniaga dan individu di negeri itu.

"Jadi kepada sesiapa yang memerlukan bantuan rujuk pusat khidmat DUN dan Parlimen kita supaya kita boleh bantu mereka yang memerlukan dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, George berkata, sejak Jun iaitu bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 seramai 2,200 keluarga menerima sumbangan barang keperluan asas di kawasan itu.

"Kita juga ada Skuad Sentosa yang akan memberikan perhatian kepada keluarga yang terjejas dan tidak dapat keluar dari rumah kerana Covid-19. Barangan asas ini termasuk sayur-sayuran.

"Setakat ini, kita sudah belanja sebanyak 60 peratus daripada peruntukan sebanyak RM100,000 diterima daripada Menteri Besar," katanya.