X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Dua atlet woodball Perlis harumkan nama negara

Kedua-dua pemain dari Malaysia itu bersaing di Dewan Majlis Sukan Negeri Perlis, Kangar. - Foto Bernama
A
A

DUA atlet woodball dari Perlis, Azizan Zainol dan Arif Fadilah masing-masing muncul juara dan naib juara pada Pertandingan Persahabatan Sukan Woodball Antarabangsa secara dalam talian, pada Khamis.

Persatuan Woodball Negeri Perlis dalam kenyataan pasa Sabtu memaklumkan Azizan yang digandingkan dengan pemain dari Indonesia, Alviano Surya berjaya meraih gelaran juara selepas menewaskan Arif dan pasangannya dari Taiwan, Tina Yu Cheng Si dengan keputusan 6-5.

Kedua-dua pemain dari Malaysia itu bersaing di Dewan Majlis Sukan Negeri Perlis, Kangar.

Perlawanan dalam talian secara langsung itu melibatkan penyertaan 28 peserta dari Malaysia, Indonesia, Taiwan, Korea Selatan, China, Uganda, Hong Kong, Singapura, Thailand, Pakistan dan Kenya.

Sukan woodball mula diperkenalkan secara dalam talian oleh Pertubuhan Woodball Antarabangsa (IWbF) sejak Julai lepas. Saingan yang berlangsung 12 Ogos lepas itu merupakan pertandingan kali kedua diadakan secara dalam talian.

Dalam kenyataan yang sama, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Penaung DiRaja Persatuan Woodball Negeri Perlis menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan dua pemain Perlis itu yang mengharumkan nama negeri dan negara di persada sukan woodball dunia.

Baginda bertitah, Perlis akan menjadi tuan rumah Kejohanan Woodball Piala Dunia pada tahun hadapan setelah ditunda dua kali sejak tahun lepas susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!