Penduduk bantah dewan jadi pusat kuarantin warga asing

Mohd Sholehuddin (tiga dari kanan) bersama penduduk menyerahkan memorandum bantahan kepada Mohd Imran (kiri) di Bangunan UMNO Bahagian Sungai Besar di Sungai Besar pada Sabtu.
Mohd Sholehuddin (tiga dari kanan) bersama penduduk menyerahkan memorandum bantahan kepada Mohd Imran (kiri) di Bangunan UMNO Bahagian Sungai Besar di Sungai Besar pada Sabtu.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Kelab Belia Pasir Panjang Sepuluh (PPSepuluh) menyerahkan memorandum bantahan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berhubung cadangan menjadikan Dewan Orang Ramai Dato' Fauzi Pasir Panjang di sini sebagai pusat kuarantin warga asing.

Memorandum itu disampaikan Penasihat PPSepuluh, Mohd Sholehuddin Mohd Zainudin di Bangunan UMNO Bahagian Sungai Besar di sini pada jam 11.30 pagi Sabtu.

Mohd Sholehuddin berkata, memorandum itu menggariskan enam perkara utama untuk tindakan pihak berwajib.

"Kami menyuarakan kebimbangan penduduk setempat apabila dewan ini hendak dijadikan pusat kuarantin warga asing. Ini kerana ia boleh meningkatkan kes penularan wabak Covid-19 di kawasan kampung ini," katanya pada sidang akhbar di sini pada Sabtu.

Mohd Sholehuddin berkata, sekiranya cadangan itu dilaksanakan, ia mengundang risiko kepada kira-kira 500 penduduk di kampung tersebut terutama golongan warga emas dan pesakit kronik.

"Kawasan kampung ini dikategorikan zon hijau Covid-19. Kami tidak mahu disebabkan pembukaan pusat kuarantin menyebabkan kes positif meningkat hingga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kampung ini," jelasnya.

Menurutnya, dewan itu juga bukan sahaja berhampiran rumah penduduk, malah berdekatan dengan sebuah pusat tahfiz, masjid, kedai runcit dan gerai penjaja di pekan Pasir Panjang selain menjadi laluan utama penduduk.

"Selain penduduk, ramai penjaja yang mencari rezeki di pekan Pasir Panjang tidak mahu meneruskan perniagaan mereka disebabkan kebimbangan penularan Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Imran berkata, beliau akan bertemu Pegawai Daerah Sabak Bernam, Amri Ismai pada Isnin berhubung perkara berkenaan.

"Saya akan bertemu dengan beliau (Amri) untuk menyerahkan memorandum mengenai kegusaran orang awam kerana dewan ini terletak berhampiran komuniti setempat.

"Dewan ini menjadi pusat aktiviti kemasyarakatan dan ia sangat tidak sesuai dijadikan stesen kuarantin warga asing," katanya.

Dalam pada itu, seorang peniaga burger di pekan Pasir Panjang, Jannatul Naim Ahmad, 28, berkata, terdapat kira-kira tujuh gerai penjaja makanan di pekan tersebut.

Menurutnya, penjaja melahirkan rasa kecewa dengan cadangan pusat kuarantin warga asing diwujudkan di kawasan terbabit.

"Ramai penjaja tidak mahu berniaga sekiranya pusat kuarantin itu dibuka. Keadaan ini memberi kesan kepada sumber pendapatan mereka yang rata-ratanya terjejas akibat pandemik," katanya.

Seorang penduduk, Nor Syafiq Mohd Ahfandi, 24, berkata, kebanyakan mereka yang menetap di kampung itu terdiri dalam kalangan warga emas dan penghidap penyakit kronik.

Sehubungan itu, katanya, tidak sepatutnya pusat kuarantin diwujudkan di kawasan berhampiran penduduk.

"Keluarga saya menghidap penyakit kencing manis dan sudah tentu kami antara golongan paling berisiko jika dijangkiti Covid-19.

"Selain kami yang menetap berhampiran dewan, jiran kami yang menghidap penyakit kronik juga bimbang dengan keadaan ini terutama dengan kes harian semakin tinggi," katanya.

Pengerusi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dewan Orang Ramai Dato' Fauzi, Ahmad Jaafar Ghazali pula berkata, pihaknya menggesa pihak berwajib memindahkan pusat itu ke satu lokasi lebih sesuai yang jauh dari kawasan penempatan penduduk.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!