Sivarasa, Maria Chin lapor polis dakwa difitnah

Sivarasa (kanan) dan Maria Chin selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada Sabtu.
Sivarasa (kanan) dan Maria Chin selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada Sabtu.
A
A
A

PETALING JAYA - Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa fitnah menerusi media sosial pada Sabtu.

Kedua wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu hadir bersama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sekitar jam 11 pagi untuk membuat laporan tersebut di sini.

Sivarasa berkata, satu artikel dan poster sebelum ini tular mendakwa beliau bersama Maria Chin serta Ahli Parlimen Damansara, Tony Phua Kiam Wee sudah menerima tawaran 'durian' untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

"Artikel yang bertajuk 'tiga sekawan penggemar durian' yang kononnya diterbitkan oleh sebuah media tempatan jelas adalah palsu.

"Kami telah teliti laman web mereka dan artikel berkenaan tidak wujud malah pihak media terbabit turut menafikan pernah menerbitkan berita tersebut," katanya kepada pemberita di IPD Petaling Jaya pada Sabtu.

Menurutnya, poster yang memaparkan wajah mereka bertiga dengan perkataan 'tiga sekawan penggemar durian' tular menerusi media sosial Facebook, yang dimuat naik oleh pemilik akaun bernama Rafi Awg Kechik.

"Kita tidak tahu siapa dia, dalam keadaan terdesak ada pihak yang cuba untuk putar belit dan mencemarkan imej kami dengan membuat seolah-olah kami menerima rasuah," katanya.

Jelasnya, polis diminta untuk menyiasat individu yang terlibat kerana tindakan itu jelas direncanakan secara tersusun oleh pihak tertentu dan merupakan satu perbuatan jenayah.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Maria Chin berkata, perbuatan tersebut merupakan satu permainan politik kotor yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu secara tersusun.

"Kita mahu fokus hentikan pandemik, ramai yang kehilangan kerja malah kehilangan nyawa.

"Ini adalah isu yang patut diberi keutamaan bukan bermain politik kotor seperti ini," katanya.

Poster yang dimuat naik sejak Khamis itu masih belum dipadam oleh pemilik akaun Facebook tersebut dan mempunyai 86 komen serta dikongsi sebanyak 19 kali.