X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Aidil Sharin akui KDA sukar cari rentak

Antara aksi menarik pertemuan KDA menentang Selangor dalam aksi Liga Super di Alor Setar malam tadi. - Foto Selangor FC
A
A

PENGENDALI Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak mengakui pasukannya menghadapi kesukaran mencari rentak permainan dalam perlawanan menentang Selangor FC malam tadi selepas berehat panjang dalam saingan Liga Super.

Beliau bagaimanapun berharap anak buahnya mampu bangkit menentang Penang FC Selasa ini sekali gus menebus kekecewaan selepas tewas 4-2 kepada Selangor FC di gelanggang sendiri di Stadium Darul Aman.

“Perlawanan malam tadi bukan mudah apabila intensiti pemain menurun selepas tiga bulan tidak bermain dan Selangor pula bermain dengan baik dan pantas, tapi secara keseluruhannya saya memuji pemain yang bekerja keras pada perlawanan ini.

“Saya nak pastikan perlawanan akan datang kami bermain lebih baik dan pemain bermain pada prestasi sebenar,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Aidil Sharin berkata, KDA FC juga akan merangka strategi baharu untuk perlawanan menentang Penang FC nanti selepas pemain pertahanan Renan Da Silva Alves tidak dapat beraksi akibat dilayangkan kad merah pada aksi malam tadi.

Sementara itu, ketua jurulatih Selangor FC Karstel Neitzel berkata, kemenangan ke atas KDA FC malam tadi adalah sesuatu yang tidak dijangka memandangkan pasukan itu dibarisi pemain hebat selain mempunyai kelebihan beraksi di halaman sendiri.

“Tiga mata amat berharga buat kami, tahniah kepada pemain yang menunjukkan kesungguhan mereka.

Pastinya kami semua gembira, walaupun pada separuh masa pertama pemain mendapat saingan hebat Kedah,” katanya.

Tambah beliau, kemenangan tersebut itu juga sedikit sebanyak dapat memperbaiki kedudukan pasukannya dalam liga dan berharap akan terus mencipta kejayaan pada perlawanan akan datang.

“Pasukan bermain tiga perlawanan sebelum ini dan kami berjaya meneruskan momentum terbaik ini sekali gus memperbaiki kedudukan kami di liga,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!