Parti komponen BN jangan jadi kacang lupakan kulit

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan Perutusan Khas di Bangunan Perdana Putra pada Jumaat. -Foto Bernama (Gambar kecil: Mohd Sharkar Shamsudin)
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan Perutusan Khas di Bangunan Perdana Putra pada Jumaat. -Foto Bernama (Gambar kecil: Mohd Sharkar Shamsudin)
A
A
A

TEMERLOH - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin mengingatkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya tidak menjadi seperti kacang lupakan kulit.

Beliau mengulas sedemikian susulan kenyataan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang mencadangkan agar jawatan Pengerusi BN diserahkan sementara kepada parti komponen lain selain UMNO, atas alasan bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) hanya berstatus 'caretaker'.

"Jika benar, sanggupkah MIC berbuat demikian dalam keadaan MIC hanya menang dua sahaja kerusi Parlimen daripada sembilan kerusi yang ditandingi oleh parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu?

"Pada PRU14, MIC bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh, Hulu Selangor, Kapar, Kota Raja, Port Dickson, Segamat, Cameron Highlands, Sungai Siput dan Tapah.

"Parti itu hanya menang di kerusi Parlimen Tapah dan Cameron Highlands masing-masing menerusi Datuk Seri M Saravanan dan Datuk C Sivarraajh (Kerusi Cameron Highlands kini diwakili calon UMNO yang menang Pilihan Raya Kecil di situ pada 26 Januari 2019)," katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook beliau pada Jumaat.

Ujarnya, kini MIC hanya ada satu wakil di peringkat Parlimen Tapah.

Jelasnya, jika dilihat pada PRU14 lalu di Tapah, jumlah pengundi di situ adalah 47,128 orang dan daripadanya 46.24 peratus adalah Melayu, diikuti 25.83 peratus (kaum Cina) dan India 14.29 peratus.

"Adakah MIC lupa siapa membantu kemenangan parti itu dikerusi dimenanginya? Sejak dari BN bertanding atas tiket biru yang asli dan kita berjuang bersama-sama.

Artikel Berkaitan:

"UMNO tidak pernah memperkecilkan peranan rakan-rakannya yang mewakili komuniti lain termasuklah MIC dan juga MCA," tegasnya lagi.

Menurutnya, walaupun difahamkan bahawa pengundi masyarakat India tidak begitu gemar dengan calon dipilih oleh MIC tetapi UMNO tetap mempertahankan dan berjuang bersama atas semangat setiakawan yang utuh.

"Lupakah MIC tentang semua itu? Jika diikutkan UMNO boleh sahaja untuk tidak kisah apa dilakukan MIC. Kami percaya pengundi pada ketika ini sudah pun berubah, pengundi kini melihat kepada calon yang sesuai dan rekod lampau parti bertanding," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang juga memberitahu mengenai situasi yang dihadapi MCA.

Tambahnya, keputusan PRU14 pada 2018 menyaksikan prestasi paling buruk MCA apabila hanya menang satu kerusi Parlimen iaitu Ayer Hitam di Johor yang dimenangi Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dengan majoriti hanya 303 undi dengan 66.72 peratus pengundi Melayu di kawasan itu.

Menurutnya lagi, di peringkat DUN, MCA hanya menang dua DUN iaitu Cheka di dalam Parlimen Lipis di Pahang dan DUN Titi Tinggi di dalam Parlimen Padang Besar di Perlis juga kawasan majoriti pengundi Melayu dengan jumlah 71.4 peratus dan 77.83 peratus.

"UMNO pada ketika ini sebenarnya berada dalam keadaan yang lebih selesa, UMNO bebas untuk memilih kerusi mana sama ada peringkat Parlimen atau DUN untuk ditandingi oleh calon UMNO pada PRU15.

"Jadi, jika MIC atau MCA mahu memilih gabungan baharu yang kononnya lebih baik, itu tiada masalah. Terpulang kepada MIC atau MCA untuk menentukannya kerana UMNO tetap tidak akan rugi malah lebih selesa," jelasnya.

Sementara itu, mengulas MKT hanya berstatus 'caretaker', UMNO menerimanya kerana ia merupakan dinamika politik di negara ini dan masih lagi sebuah parti yang sah kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak lagi memberi sebarang isyarat mempertikai status UMNO sebagai parti politik sah.

Beliau turut mempersoalkan jika dua parti komponen itu sanggup melupakan erti persahabatan dan saling menghormati yang terjalin dalam BN sejak ditubuhkan.

"Disebabkan apa yang berlaku pada UMNO ketika ini, MIC dan MCA sanggup bertindak sebaliknya dan lupa semangat kebersamaan dalam BN selama ini?

"Usah jadi seperti kacang lupakan kulit. Hargailah semangat setiakawan yang terjalin. Semangat ini merupakan prinsip parti sejak sekian lama," tegasnya.