Lapan individu terlibat judi dalam talian diberkas

Lima lelaki warga tempatan dan tiga lelaki warga asing ditahan dalam Ops Dadu di sebuah premis di ibu negara.
Lima lelaki warga tempatan dan tiga lelaki warga asing ditahan dalam Ops Dadu di sebuah premis di ibu negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai lapan individu ditahan dipercayai terlibat perjudian dalam talian di sebuah premis di Jalan Landak Off Jalan Pudu, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan menerusi Ops Dadu tersebut dijalankan kira-kira jam 4.30 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

"Seramai lapan individu ditahan terdiri daripada lima lelaki warga tempatan dan tiga lelaki warga asing berumur antara 24 hingga 70 tahun," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, polis merampas 12 tablet, tiga telefon bimbit, satu unit router dan satu unit modem internet.

"Selain itu turut dirampas satu unit dekoder kamera litar tertutup (CCTV),16 kerusi, sebuah buku catatan dan wang tunai berjumlah RM918," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Artikel Berkaitan: