Pemandu pelancong jadi penoreh getah untuk tampung hidup

Pandemik Covid-19 menjejaskan pendapatan ramai pihak. Gambar kecil: Ahmad Nur Amirullah Abdul Rahim, Nur Hidayah Sharifuddin
Pandemik Covid-19 menjejaskan pendapatan ramai pihak. Gambar kecil: Ahmad Nur Amirullah Abdul Rahim, Nur Hidayah Sharifuddin
A
A
A

TEMERLOH - Bagi meneruskan kehidupan sepanjang pandemik Covid-19, seorang pemandu pelancong dari Kampung Bolok, di sini melakukan kerja menoreh getah.

Ahmad Nur Amirullah Abdul Rahim, 28, berkata, dia menoreh getah selepas kerjaya yang diceburinya sejak sembilan tahun lalu tersekat akibat pandemik tersebut.

"Dulu boleh dapat hingga RM3,000 sebulan kini hanya RM400 sebulan hasil menoreh getah.

"Nasib baik saya masih bujang dan tinggal dengan keluarga, kalau tidak memang sakit kepala sebab perlu fikirkan banyak benda," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Situasi sama turut dihadapi Nur Hidayah Sharifuddin, 25, dari kampung sama yang kini membantu abangnya menjual telur itik selepas tidak boleh meneruskan kerjayanya di Kuala Gandah.

Mula memilih kerjaya itu sejak 2019, dia mengakui pendapatannya terjejas namun akur kerana situasi pandemik masih belum pulih menyebabkan dia dan rakan seperjuangan perlu tabah mengharungi kesukaran tersebut.

"Dengan bantuan yang diberikan kerajaan negeri, kami sangat menghargainya kerana sedikit sebanyak boleh mengurangkan beban yang dihadapi," ujarnya lagi.

Mohd Sharkar (tengah) ketika menyampaikan BPN kepada pemandu pelancong di Kuala Gandah, Lanchang pada Jumaat.
Mohd Sharkar (tengah) ketika menyampaikan BPN kepada pemandu pelancong di Kuala Gandah, Lanchang pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Dua pemandu pelancong itu ditemui ketika penyerahan sempena Bantuan Prihatin Pahang (BPP) yang disampaikan oleh Exco Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim.

Seramai 30 pemandu pelancong di daerah itu menerima sumbangan tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Sharkar yang juga ADUN Lanchang mengharapkan sumbangan kerajaan negeri itu dapat meringankan beban dan menaikkan semangat golongan terbabit selain bersabar menanti sektor pelancongan kembali dibuka.

"Jika semua penduduk, pengusaha dan pelancong sudah siap divaksin dan mencapai imuniti kelompok, sudah pasti kita akan memastikan pelancongan kembali beroperasi seperti biasa.

"Sekarang kita sudah berada dalam keadaan bersedia, secara dasar kita mematuhi arahan kerajaan Pusat seperti tak boleh rentas negeri, maknanya orang Pahang sahaja yang boleh melancong (dalam negeri)," jelasnya.

Menurutnya, kerajaan negeri memperkenalkan gelembung pelancongan yang menyasarkan kawasan-kawasan khusus sahaja yang boleh dibuka kepada pelancong mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.