Suami dirawat di ICU, ibu anak lima buntu sara keluarga

Rogayah menunjukkan gambar suami di telefon bimbitnya.
Rogayah menunjukkan gambar suami di telefon bimbitnya.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang ibu kepada lima cahaya mata buntu untuk menyara keluarga apabila suaminya kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital kerana menghidap penyakit buah pinggang kronik.

Hanya bergantung pada suami sebelum ini, kini Rogayah Deraman, 52, dari Pulai Chondong, Machang hilang arah apabila mereka sekeluarga diuji di saat negara berdepan situasi getir penularan Covid-19.

Suaminya, Mohd Nazri Hussain 55, disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik sejak tahun lalu dan perlu menjalani dialisis setiap minggu.

Bagaimanapun, kesihatan Mohd Nazri kian merudum menjelang sambutan Hari Aildiladha baru-baru ini dan dia dibawa ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut.

Dia kemudiannya dipindahkan ke Hospital Pasir Mas namun keadaannya yang semakin kurang baik menyebabkan Mohd Nazri terpaksa dibawa ke HUSM.

Rogayah terpaksa menumpang di rumah anak saudaranya di Kampung Tanjong Mas kerana tidak mampu berulang-alik dari rumahnya di Machang ke HUSM Kubang Kerian.

"Doktor panggil saya dan beritahu suami ada tibi pula. ALLAH, luluh hati saya, dua anak di Machang saya tinggal begitu saja. Yang dua lagi saya bawa ke sini bersama saya. Anak ketiga pula minta izin dengan saya untuk pergi bekerja dengan rakannnya di Pulau Pinang.

"Mujurlah saya yang ditemani anak bongsu kembar, Nurul Izzati dan Nurul Iwani yang masing-masing berusia 16 tahun. Dengan adanya mereka di sisi menguatkan lagi semangat saya. Saya risaukan suami, kami pun menumpang saja di sini.

Artikel Berkaitan:

"Dengan ihsan anak saudara, Nora Yusof, mereka benarkan kami menumpang sementara tunggu suami boleh keluar dari hospital," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Nora (kanan) membenarkan Rogayah tinggal bersama di rumahnya di Tanjong Mas sementara menunggu bapa saudaranya dibenarkan keluar hospital dan pulang ke Machang.
Nora (kanan) membenarkan Rogayah tinggal bersama di rumahnya di Tanjong Mas sementara menunggu bapa saudaranya dibenarkan keluar hospital dan pulang ke Machang.

Apa yang lebih memilukan, dua anak lelakinya yang sebelum ini menuntut di Giat Mara, Tanah Merah dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) terpaksa melupakan hasrat untuk meneruskan pelajaran kerana bapa mereka tidak lagi mampu menanggung kos pengajian tersebut.

Malah Rogayah berkata, kedua-dua anaknya itu kini sedang mencari kerja yang bersesuaian untuk mencari sesuap nasi bagi membantu menyara keluarga selepas bapa mereka kini tidak lagi mampu menjadi ketua keluarga.

"Kami dapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 selain wang bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk tanggung perbelanjaan bulanan kami.

"Namun ia tidak mencukupi untuk menanggung perbelanjaan rawatan suami di hospital. Itu yang saya amat risaukan sekarang. Saya buntu dan terpaksa benarkan anak-anak mencari kerja untuk tampung apa yang boleh," katanya.

Kepada mana-mana pihak yang mahu menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0350 1417 0008 9811 atas nama Rogayah Deraman atau boleh menghubunginya di talian 011-6108 7618.