Tiada kes cuba culik seperti ditular

Abdul Rahim Md Din
Abdul Rahim Md Din
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis menegaskan tiada sebarang kejadian cuba culik atau penculikan kanak-kanak yang berlaku di daerah ini dalam masa terdekat seperti yang rancak di tularkan dalam laman sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima dua laporan polis berhubung dakwaan kes culik di daerah ini sepanjang minggu ini tetapi setelah disoal siasat, langsung tidak menjurus kepada jenayah itu seperti yang ditularkan orang ramai di laman sosial.

Beliau berkata, tindakan orang ramai menyebarkan berita yang tidak pasti kesahihannya boleh menimbulkan rasa takut dan tidak selamat di kalangan masyarakat dan ia tidak sepatutnya dilakukan.

"Sehingga kini kami ada menerima dua laporan polis daripada dua wanita di kawasan perumahan Wakaf Tembesu dan terbaru di Kampung Surau Panjang, Chendering, di sini, mendakwa berlaku kes cubaan culik.

"Untuk kes pertama, wanita berkenaan mendakwa empat lelaki menaiki sebuah van berwarna kelabu masuk ke kawasan rumahnya di Wakaf Tembesu kerana pintu pagar rumahnya tidak berkunci dan ia menjadi tular di laman sosial.

"Bagaimanapun siasatan kita mendapati tiada sebarang unsur cubaan culik dan ia hanya membabitkan pencerobohan jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Jelas Abdul Rahim lagi, bagi kes kedua, seorang ibu membuat laporan mendakwa tiga anaknya yang dalam perjalanan ke sekolah lari pulang ke rumah bapa saudara mereka selepas melihat lelaki dalam keadaan mencurigakan dalam kenderaan Mitsubishi Pajero.

"Siasatan kita bagaimanapun mendapati tiada sebarang unsur cubaan culik berlaku, namun ia sekali lagi menjadi tular sehingga menimbulkan rasa cemas di kalangan ibu bapa.

Artikel Berkaitan:

"Dakwaan kononnya kumpulan penculik berada di beberapa kawasan di daerah ini yang ditularkan secara meluas di laman sosial juga tidak benar.

"Sehubungan itu pihak polis ingin menegaskan bahawa tiada sebarang kejadian cubaan culik atau penculikan berlaku di daerah ini dalam masa terdekat dan menafikan segala laporan yang tular di media sosial kononnya berlaku kes culik," katanya.

Dalam masa sama, Abdul Rahim berkata, pihak polis sentiasa peka dalam segala isu membabitkan keselamatan orang ramai dan sehingga kini keadaan terkawal.

"Kita juga menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkannya dan pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang ke atas individu yang memuat naik status dan menyebarkan maklumat palsu sehingga menjejaskan ketenteraman awam," katanya.