X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Kerjasama dipersetujui, Sidang Khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat

Muhyiddin ketika menyampaikan Perutusan Khas di Bangunan Perdana Putra pada Jumaat. Turut kelihatan, Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (dua, kanan).
A
A

SHAH ALAM- Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan Sidang Khas Dewan Rakyat dalam waktu terdekat bagi membentangkan usul undi percaya sekiranya cadangan kerjasama bipartisan dipersetujui.

Beliau memberi jaminan bahawa akan mengambil tindakan yang terhormat dan berperlembagaan dalam menyelesaikan kemelut politik yang berlaku pada masa ini.

Menurutnya, keutamaan kini hanyalah untuk memastikan kerajaan terus berfungsi dengan baik untuk menangani pandemik dan memulihkan negara.

“Tujuan saya kemukakan cadangan ini ialah untuk membolehkan kerajaan terus berfungsi di waktu pandemik dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.

“Pada masa sama, saya juga seperti anda semua, mempunyai tanggungjawab untuk tidak membiarkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik ini tidak diselesaikan segera.

“Maka, saya dengan penuh takzimnya menjemput semua pimpinan parti politik untuk membincangkan cadangan-cadangan ini pada minggu hadapan.

“Saya akan mengeluarkan jemputan rasmi kepada semua pimpinan parti politik untuk menghadiri perbincangan ini. Saya bersedia untuk mendengar pandangan mereka berhubung cadangan ini,” katanya semasa ucapan khas perdana menteri bersama memulihkan negara pada Jumaat.

Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.

Pada masa sama, ia bagi mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.

Antara tawaran yang diberikan adalah semua ahli Parlimen menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik dan bagi pembangkang, peruntukan tahun ini akan dibuat secara prorata mengikut jumlah bulan yang berbaki.

Selain itu, kerajaan akan membentangkan untuk kelulusan Parlimen penambahan siling Dana Covid-19 sebanyak RM45 bilion dari RM65 bilion seperti yang diluluskan oleh Parlimen tahun lalu kepada RM110 bilion.

“Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan erdana menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan sekiranya kerajaan berjaya mendapatkan sokongan bi-partisan.

“Kerajaan juga akan memastikan jumlah ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang selain melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa,” ujarnya.

Tambah Muhyiddin, rang undang-undang termasuk rang undang-undang perbekalan yang akan dibentangkan di Parlimen akan dirunding terlebih dahulu dengan semua ahli Parlimen.

Akhir sekali, cadangan rangka persefahaman rentas parti ialah ketua pembangkang akan diberi saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri kanan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!